Ajaran Islam di Negara-Kota Melayu

Ajaran Islam secara dokumennya bermula dari Tanah Arab. Penganut ajaran Islam umumnya beriman dengan Allah iaitu Tuhan sekelian alam yang mewahyukan al-Quran kepada nabi Muhammad s.a.w secara berperingkat-peringkat. Baginda nabi Muhammad s.a.w kemudian menyebarkan ajaran Islam kepada ahli keluarga baginda dahulu dan seterusnya kepada rakan-rakan terdekat baginda.

Sejarah ajaran Islam di negara-negara kota bangsa Melayu secara umumnya dicatitkan pada abad ke-15 M. Namun, unsur-unsur penyebaran ajaran Islam secara kecil-kecilan di rantau-rantau ini sudah bermula semenjak abad ke-8 dan ke-9 M lagi.

Fokus pertama bagi penganut ajaran Islam adalah kepada keimanan. Iman ini adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud sesuatu yang menyebabkan seseorang itu berasa selamat, tetap dan tenang. Keimanan penganut ajaran Islam secara umumnya dicirikan oleh enam rukun keimanan iaitu:
  • Beriman dengan Allah, Tuhan sarwa alam
  • Beriman kepada para malaikat  
  • Beriman dengan para nabi dan para rasul
  • Beriman dengan kitab-kitab suci
  • Beriman dengan hari pembalasan
  • Beriman dengan ketentuan Tuhan baik dan buruk
Fokus yang kedua pula bagi seseorang Islam itu adalah berkenaan dengan amalan hariannya. Sseeorang itu dikira sebagai penganut ajaran Islam sekiranya dia melaksanakan lima perkara iaitu:
  • Mengucapkan dua kalimah kesaksian
  • Bersolat lima waktu sehari dan semalam pada setiap hari
  • Berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan
  • Berzakat harta untuk golongan-golongan tertentu
  • Menunaikan haji di kota suci Mekah bagi yang berkemampuan sekali seumur hidup
Secara umumnya, bangsa Melayu yang menganuti ajaran Islam mengamalkan ajaran Islam berdasarkan kepada mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan bermazhab fekah dengan pandangan Imam Syafi'ie. Ajaran Islam sebegini diamalkan oleh bangsa Melayu secara majoritinya di negara kota mereka di merata-rata rantau di Asia Tenggara selepas negara kota mereka menerima ajaran Islam sebagai agama negara.