Dinasti Buddha di Indrapura

Pada tahun 875 M, raja Indravarman III mengasaskan dinasti utara di negara-kota Indrapura. Kawasan negara-kota itu berada di Dong Duong, berdekatan dengan Da Nang di Vietnam kini. Raja ini bersungguh-sungguh ingin menuntut salah silah purba lalu baginda mengisytiharkan diri baginda sebagai keturunan Maharsi Bhrigu yang merupakan salah satu tokoh dalam kitab Mahabharata. Baginda turut menekankan bahawa negara-kota Indrapura diasaskan oleh Maharsi Bhrigu pada zaman purba.

Dari tahun 877 M, rekod China menyebut Champa sebagai Cheng Cheng. Mereka sudah berhenti menggunakan rujukan Hoan Vang terhadap Champa. Raja Indravarman II berusaha menangkis serangan dan penaklukan oleh raja Yasovarman I dari dinasti Angkor di Kambujadesa di sebelah negara mereka.

Raja Indravarman II menjadi raja Champa pertama yang menganuti ajaran Buddha Mahayana dan menjadikannya sebagai agama rasmi negara. Sebuah biara Buddha didirikan di tengah-tengah kota Indrapura untuk Bodhisattva Lokesvara. Tapak biara ini sedihnya sudah hancur disebabkan oleh Perang Vietnam. Hanya tinggal gambar-gambar dan lakaran-lakaran dari zaman sebelum perang sahaja yang tinggal untuk tatapan. Sebagai tambahan, sesetengah arca batu dari biara ini dipelihara dan disimpan di muzium-muzium di Vietnam.

Sarjana-sarjana menggelar senibina arca dari Indrapura ini sebagai Gaya Dong Duong. Gaya ini dicirikan oleh dinamism dan realisme etnis dalam menggambarkan orang Champa. Karya-karya agung dari gaya ini termasuklah arca tinggi dvarapala-dvarapala garang atau penunggu biara yang diletakkan di sekeliling biara. Zaman ajaran Buddha menjadi agama diraja di Champa adalah dari 877-925 M. Selepas itu, gaya Dong Duong ini mula pudar dan memberi jalan pula kepada pengembalian kepada kepercayaan Saiva sebagai agama diraja di situ.

Raja-raja dari dinasti Indrapura ini membangunkan sejumlah kuil di My Son pada abad ke-9 dan abad ke-10 M. Kuil-kuil di My Son ini menjadi definisi kepada senibina dan gaya arca baru pula di sana. Ia digelar sebagai Gaya My Son A1 dan menjadi gaya diraja di Champa pada ketika itu. Kembalinya Champa kepada kepercayaan Saiva ini berlaku sekitar permulaan abad ke-10 M. Pusat keagamaan Champa juga berubah dari Dong Duong kembali ke My Son.