Sejarah Champa

Satu teori menyatakan bahawa orang Champa berasal dari mereka yang berhijrah ke Tanah Besar Asia Tenggara dari Borneo pada zaman kebudayaan Sa Huynh. Walau bagaimanapun, bukti genetik turut menunjukkan berlakunya pertukaran dengan genetik dari India purba. Tapak kebudayaan Sa Huynh sangat kaya dengan artifak dari logam dan berbeza dengan tapak-tapak kebudayaan Dong Son yang ditemui di utara Vietnam dan di lain-lain yang berada di rantau Asia Tenggara kerana kebudayaan Dong Son memaparkan banyak jenis artifak dari tembaga. Bahasa Champa adalah cabang bahasa dari turunan keluarga bahasa Austronesia. Satu kajian mendedahkan bahawa bahasa Champa itu sangat mirip dengan bahasa Aceh moden.

Kemunculan Champa

Tradisi Champa menyebut bahawa pengasas negara Champa adalah seorang wanita bergelar Che Puan Po Nagar atau Liu Ye dalam bahasa Cina. Beliau berasal dari keluarga petani di pergunungan di Dai An, Vietnam. Beliau dipandu oleh semangat lalu belayar dengan kayu cendana ke benua China. Di sana, beliau berkahwin dengan seorang putera mahkota, anakanda kepada maharaja China ketika itu. Mereka dikurniai dengan dua orang anak. Apabila beliau ingin pulang ke kampung beliau, suami beliau melarang beliau menyebabkan beliau melayangkan kayu cendana ke lautan dan menghilang di laut bersama anak-anak beliau. Beliau muncul semula bersama anak-anak beliau di Nha Trang. Apabila putera mahkota yang menjadi suami beliau itu cuba menjejaki mereka, lalu beliau menyumpah angkatan laut China itu menjadi batu.

Kebudayaan Sa Hyunh

Kebudayaan Sa Hyunh ini adalah kawasan masyarakat zaman besi prasejarah di pantai tengah Vietnam. Pada 1909, ahli arkeologi menemui balang berisi abu mayat dan bahan-bahan yang diletakkan bersama dengan mayat dalam kubur di Thanh Duch, dekat dengan Sa Hyunh di kampung pesisir pantai ke selatan Da Nang.

Sejak itu, banyak sekali tapak-tapak perkuburan ditemui dari Hue ke delta Sungai Dong Nai. Balang pengebumian mengandungi cermin-cermin berbingkai gangsa, matawang lama, genta, kapak, gelang-gelang, tombak, kepala tombak dari besi, pisau-pisau, sabit, manik-manik dari emas, kaca, batu akik dan batu-batu lain. Pentarikhan karbon pada kebudayaan Sa Hyunh menganggarkan bahawa tempoh kewujudan kebudayaan ini adalah dari 400 SM sehingga ke abad pertama atau abad kedua masehi.

Penduduk di kebudayaan ini bertukar barangan di sepanjang jalan perdagangan maritim dengan penduduk di Taiwan dan di Filipina. Setakat ini, ramai bersepakat bahawa terdapat bukti yang menunjukkan kemunculan penempatan manusia di rantau itu adalah berasal dari laut dari Borneo. Pergerakan manusia ini nampaknya menyebabkan berlakunya kemunculan kebudayaan Sa Hyunh dan perkembangan negara-negara kota bangsa Champa di dalam rantau Vietnam.

Lam Ap (Champa)

Nama kerajaan Champa ini disebut dalam bahasa Cina sebagai Lam Ap. Dalam sebutan bahasa Mandarin moden, ia berbunyi Lin Yi. Menurut catitan sejarah, kerajaan ini diasaskan pada tahun 192 M di rantau moden Hue oleh Khu Lien, seorang pemimpin tempatan yang memberontak terhadap empayar China yang dipimpin oleh dinasti Han. Selepas beberapa abad, tentera dinasti Han mengulangi lagi serangan ke atas kerajaan ini dan cuba merampasnya kembali masuk ke empayar China.

Tidak lama selepas itu juga, Lam Ap mula dipengaruhi oleh kebudayaan Brahmana dari negara Funan di sebelah baratnya. Sarjana sejarah menempatkan kedudukan permulaan bagi kerajaan Champa ini pada abad ke-4 M iaitu apabila berlaku proses kenaikan mereka ke dalam masyarakat Brahmana berlangsung. Pada zaman ini, orang Cham mula memahat batu-batu bersurat dalam bahasa Sanskrit dan dalam bahasa Champa purba. Aksara yang digunakan oleh mereka pun dicetuskan dari inspirasi aksara India purba.

Catitan berbahasa Sanskrit seperti Piagam Vo Canh boleh ditemui di rantau Champa yang awal di Kauthara. Srī Māra, cucunda maharaja dari dinasti Pandya dilantik menjadi raja di Kauthara. Sri Mara ini juga dikenalpasti sebagai Khu Lien yang memberontak dari dinasti Han dan Brahmana dari Funan dalam rekod-rekod China.

Kitab Dinasti Jin merekodkan juga mengenai Champa pada abad ke-3 dan ke-5 M. Pada 336, Phan Van atau Fan Wen dilantik menjadi raja di Champa. Baginda menyerang dan menakluki Daqijie, Xiaoqijie, Ship, Xulang, Qudu, Ganlu dan Fudan. Phan Van kemudian menghantar perutusan dan bingkisan kepada maharaja China ketika itu. Menurut rekod China, perutusan baginda itu bertulisan dengan huruf-huruf orang gasar. Champa pada ketika ini kadangkala mengekalkan statusnya sebagai negara yang menyembah ke benua China, kadang-kala ia juga melawan benua China dan rantau ketenteraan China di Nhat Nam (Ri Nan) seringkali diserang oleh Champa.

Raja Champa pertama yang disebutkan dalam catitan-catitan Champa adalah Bhadravarman yang bertakhta dari 380 sehingga 413 M. Baginda membangunkan linga yang dikenali sebagai Bhadreśvara di My Son. Nama linga tersebut adalah gabungan nama raja tersebut dan juga dewa Siva. Kerajaan ini mengamalkan sistem pemujaan devaraja dengan nama raja dipuja sebagai nama Tuhan sehingga berabad-abad lamanya.

Ibu kota Champa pada zaman Bhadravarman ini berada dalam Kubu Siṃhapura yang terletak antara dua sungai dan dinding kubunya melingkungi rantau seluas lapan batu. Seorang penulis China pada zaman itu menggambarkan bahawa penduduk Champa ketika itu adalah jenis yang suka berperang dan gemar dengan bunyi-bunyian. Mata mereka ke dalam dan berhidung mancung, berambut hitam beralun.

Rekod China juga menyebutkan bahawa Sambhuvarman kemudian dirajakan di Champa pada tahun 529 M. Catitan Champa memberikan pujian atas jasa baginda dalam memulihara Kuil Bhadresvara selepas kebakaran. Sambhuvarman turut menghantar duta dan ufti ke empayar China. Selain itu, baginda gagal menakluki Vietnam Utara. Goerge Coedes menyatakan bahawa serangan ke Vietnam Utara itu sebenarnya dijalankan oleh Rudravarman, kemudian diikuti oleh anakanda baginda Sambhuvarman yang bergabung menyerang Vietnam Utara dari 529 sehingga 629 M. Orang China kemudian menghantar Jeneral Pham Tu untuk mengamankan orang Champa selepas mereka menjarah Vietnam yang ketika itu adalah sebahagian daripada empayar China pada 543 M. Jeneral Pham Tu berjaya mengalahkan orang Champa.

Pada 605 M, Jeneral Liu Fang dari dinasti Sui menawan Champa. Baginda memenangi peperangan itu dengan memerangkap gajah perang Champa ke dalam jerangkap samar yang merupakan sebuah lubang bertutup dengan tanah. Beliau membunuh beramai-ramai tentera Champa dan menakluki ibu kota Champa.

Sambhuvarman membangunkan semula ibu kota yang rosak dan membangunkan semula Kuil Bhadravarman di My Son. Seterusnya, baginda menerima duta yang dihantar oleh Mahendravarman dari kerajaan Chenla. Pada 620 M, raja-raja Champa menghantar duta ke istana dinasti Tang dan memohon untuk menyembah bakti ke maharaja China pada ketika itu.

Rekod China melaporkan juga mengenai kemangkatan raja Champa yang terakhir iaitu pada 756 M. Selepas itu, nama Champa dalam bahasa Cina berubah dari Lam Ap kepada Hoan Voang (Huanwang). Rekod-rekod awal China menggunakan nama yang berkaitan dengan Champa adalah bertarikh 877 M. Nama Champa ini digunakan oleh orang Champa untuk merujuk negara mereka sekurang-kurangnya dari 629 M dan oleh orang Khmer pada 657 M.