Peperangan dengan Kambujadesa

Utara Champa

Pada 1047 M, Raja Harivarman IV ditabalkan menjadi raja Champa. Baginda memulihara semula kuil-kuil di My Son. Tempoh pemerintahan baginda ini adalah ketika Champa mencapai kemakmuran yang sementara.

Baginda Harivarman IV membuat perjanjian damai dengan kerajaan Dai Viet namun baginda mengganggu kerajaan Angkor di sebelah barat mereka. Pada 1080 M, kerajaan Angkor menyerang negara-kota Vojaya dan lain-lain pusat kerajaan Champa di sebelah utara sempadan mereka. Kuil-kuil dan biara-biara habis dihentam oleh tentera negara jiran. Khazanah kebudayaan Champa dilarikan keluar negara. Selepas penderitaan ini, tentera Champa di bawah perintah baginda Harivarman IV berjaya menewaskan tentera negara jiran dan mengembalikan ibu kota serta kuil-kuil mereka dalam keadaan aman.

Pada 1080 M juga, satu lagi dinasti baru dari lembangan Korat yang kini berada dalam rantau timur laut Thailand merampas takhta kerajaan Angkor. Tak lama selepas itu juga, raja-raja dari dinasti itu melancarkan usaha membina empayar. Mereka mula beralih dari percubaan untuk menakluki Dai Viet pada 1128, 1132 dan 1138 kepada menggugat kerajaan Champa.

Pada 1145 M, tentera Kambujadesa di bawah Raja Suryavarman II yang membangunkan Angkor Wat menakluki negara-kota Vijaya. Hal ini, mengakhiri pemerintahan Raja Jaya Indravarman III dan menyebabkan kuil-kuil di My Son termusnah. Raja Kambujadesa itu mencuba untuk menakluki keseluruhan negara-kota di utara Champa. Namun, pada 1149 M pemerintah di negara-kota Panduranga sebelah selatan iaitu Raja Jaya Harivarman I mengalahkan tentera Kambujadesa dan mengangkat diri baginda menjadi Rajadhiraja di Vijaya. Baginda menghabiskan kebanyakan masa memerintah baginda dengan menundukkan pemberontakan di negara-kota Amaravati dan negara-kota Panduranga.

Serangan Champa atas Kambujadesa

Pada 1167 M, Raja Jaya Indravarman IV ditabalkan menjadi Raja Champa. Pada satu catitan yang dibuat oleh orang Champa sendiri, baginda ini dikatakan sebagai seorang yang berani, pintar ayudhasastra iaitu bermain senjata, bijaksana dalam falsafah seperti teori-teori Mahayana dan terpelajar dalam pentadbiran Dharmasastra.

Selepas membuat perjanjian damai dengan Dai Viet pada 1170 M, Raja Jaya Indravarman menakluki Kambujadesa dengan kesan-kesan yang tidak begitu konkrit. Pada 1177 M, tentera baginda melancarkan lagi serangan mengejut ke atas negara-kota Kambujadesa iaitu Yasodhapura dari kapal perang yang diletakkan di Sungai Mekong. Kapal-kapal perang Champa kemudian dilepaskan sehingga ke Tasik Tonle di Kambujadesa. Tentera Champa menghancurkan ibu kota Kambujadesa pada 1177 M dan membunuh Raja Sri Tribhuvanaditya, raja Kambujadesa. Mereka mendapat rampasan perang yang besar selepas itu.

Selain itu, pada 1171 M empayar China turut memindahkan teknologi busur silang ke kerajaan Champa. Tentera-tentera Champa kemudian menggunakan senjata dari China ini untuk menakluki Kambujadesa.

Serangan Kambujadesa atas Vijaya

Raja baru Kambujadesa iaitu Sri Jayavarman VII kemudian menghalau tentera Champa dari Kambujadesa pada 1181 M. Raja Jaya Indravarman IV dari Champa kemudian menghantar serangan lain lagi ke Kambujadesa pada 1190 M. Kemudian, Sri Jayavarman VII melantik seorang lagi putera Champa bernama Vidyanandana Kumara sebagai senapati tentera Kambujadesa. Vidyanandana berjaya mengalahkan tentera Champa menyebabkan mereka kembali ke kota Vijaya. Ia tidak berakhir di situ sahaja kerana Kambujadesa mengejar mereka dan menakluki kota Vijaya. Raja Jaya Indravarman IV ditawan dan dibawa ke Angkor sebagai tahanan perang.