Genderuwo dalam Cetera Jawa

Genderuwo dipercayai berkomunikasi dan berhubung langsung dengan manusia. Pelbagai lagenda menyebut bahawa makhluk ini menjelma mengikut rupa manusia untuk menggoda sesama manusia. Ia dipercayai sebagai makhluk cabul yang suka bergurai. Ia gemar menggoda wanita dan kanak-kanak. Ia suka menampar bontot wanita, mengelus tubuh wanita semasa sedang tidur atau memindahkan pakaian dalam wanita kepada orang lain.

Kadang-kala ia muncul dalam bentuk makhluk kecil berbulu dan boleh membesar dalam sekelip mata. Ia suka melempar rumah orang dengan batu kerikil pada malam hari. Salah satu kegemarannya lagi adalah menggoda isteri-isteri orang yang kesunyian ditinggalkan suami atau menggoda janda. Kadang-kadang ia boleh terlanjur melakukan hubungan intim dengan wanita-wanita malang ini. Dipercayai bahawa benih dari makhluk ini boleh menghamilkan wanita dan menyebabkan wanita tersebut melahirkan keturunan dari bangsa makhluk halus ini.

Lagenda menyebut bahawa genderuwo ini mempunyai kemampuan menggoda wanita supaya bersetubuh dengannya. Kemampuan seksnya amat luar biasa sehingga wanita-wanita malang yang digaulinya itu merasa nikmat akibat berhubungan badan dengan makhluk ini. Makhluk ini biasanya menyamar sebagai suami atau kekasih mangsanya, maka wanita-wanita ini tidak akan sedar bahawa mereka sedang bersetubuh dengan makhluk halus. Makhluk ini dikatakan sangat gatal dan suka menggoda wanita akibat kegatalannya.

Terdapat juga lagenda yang menyatakan bahawa genderuwo ini suka berdiam dalam rahim wanita. Wanita yang rahimnya dihuni oleh makhluk ini akan mempunyai keinginan seks tinggi dan tidak mampu menahan kebirahan. Jika pasangan wanita itu tidak mampu menahan kebirahannya, maka wanita itu akan curang mencari lelaki lain. Keadaan ini terjadi kerana wanita itu dikendalikan oleh genderuwo. Genderuwo turut merasa nikmat senggama semasa wanita itu berhubungan jenis dengan lelaki lain.

Kepercayaan Jawa beranggapan bahawa tidak semua genderuwo itu jahat. Ada juga genderuwo yang baik. Genderuwo baik ini dipercayai merupa sebagai seorang lelaki tua berjubah putih. Genderuwo baik ini tidak cabul seperti genderuwo jahat. Ia sering membantu manusia menjaga kawasan-kawasan ghaib atau rumah penduduk dari mereka yang berniat jahat seperti perompak. Orang Jawa Muslim juga percaya bahawa genderuwo yang baik ini akan membantu proses menyunat kanak-kanak dari keluarga yang saleh dan beribadat namun tidak berkemampuan.