Asal-Usul Genderuwo

Genderuwo ini dipercayai berasal dari roh-roh mereka yang meninggal dunia secara tidak sempurna. Contohnya meninggal dunia akibat bunuh diri, dikuburkan secara tidak sempurna atau mati kemalangan. Keadaan ini menyebabkan roh-roh mereka yang mati ini tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sudah mati.

Genderuwo ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia namun pada ketika-ketikanya ia akan menunjukkan diri jika diganggu. Terdapat genderuwo baik dan terdapat genderuwo yang jahat. Keadaan mereka sama seperti bangsa manusia. Tindakan mereka juga bergantung kepada niat manusia sama ada mahu berkawan dengannya atau bermusuh dengannya.

Upacara Menyeru Genderuwo

Ramai yang mempercayai bahawa genderuwo boleh diseru dengan membakar sate daging burung gagak. Dipercayai genderuwo memelihara burung gagak dan menjadikannya sebagai makanan mereka seperti manusia membela ayam untuk dagingnya.

Cara membuat sate daging burung gagak ini adalah seperti berikut:
  • burung gagak dipikat dan disembelih dengan pisau yang sangat tajam supaya darahnya mengalir deras dari luka sembelihannya;
  • bulu-bulu burung gagak dicabut sehingga togel bersih;
  • daging burung gagak sudah bersih itu ditelingkung seperti membuat ingkung ayam; dan
  • daging sate gagak itu dibakar di atas bara api.
Selain itu, semasa pembakaran sate daging burung gagak dijalankan maka mantra pun dibacakan. Tujuannya supaya genderuwo dapat menghidup bau makanan yang dibakar dan mendengar seruan. Mantra ini adalah rahsia dan tidak semua orang mengetahuinya. Halnya adalah untuk mengelakkan supaya disalahguna bagi tujuan-tujuan buruk. Tempat terbuka adalah tempat terbaik untuk menyeru makhluk ini kerana bau sate daging burung gagak itu akan tersebar ke merata arah.
 
Upacara Melibatkan Judi
 
Upacara menyeru genderuwo ini juga terkenal dalam kalangan kaki judi togel di Jawa. Di Jawa, judi togel ini digelar sebagai nombor bontot atau nombor jitu. Peminat judi ini yakin bahawa mengundang genderuwo boleh memberikan untung. Untuk itu mereka juga perlu berani supaya mendapat keuntungan mudah.
 
Dalam upacara yang dijalankan oleh kaki judi, terdapat tawar-menawar pula untuk mendapatkan nombor jitu. Kaki judi mesti cepat-cepat meminta nombor sebelum genderuwo sempat mencuri atau memakan umpan sate burung gagak. Jika genderuwo sudah kenyang maka ia tidak akan mengendahkan soalan yang diberikan oleh kaki judi lagi.