Kerajaan Indraprahasta

Kerajaan Indraprahasta Cirebon Girang adalah kerajaan yang berkedudukan di Gunung Indrakila atau Gunung Cereme di Jawa Barat. Pada awalnya, ia hanyalah satu kemandalaan yang bergelar mandala Indraprahasta. Selepas itu, ia mula berkembang menjadi satu kerajaan pula. Nama kerajaan ini mirip dengan nama sebuah kerajaan dalam kitab Mahabharata.

Sejarah Indraprahasta

Menerusi naskah "Nagarakrtabhumi" sarga I parva I disebutkan bahawa semenjak tahun 80 Saka sehingga tahun 230 Saka (308 M), ramailah kelompok pendatang yang menaiki tongkang dan perahu dari Bharata dan Bengal lalu berkediaman di sebelah Asia Tenggara ini. Ada juga yang tiba dari rantau Ganga di benua kecil India. 

Dalam kelompok mereka ini, ada seorang Rsi Vaisnava yang mengajar agama kepada kepala masyarakat di tempat kediaman mereka khususnya di Jawa Barat. Kelompok Rsi Saiva pula ramai berkediaman di Jawa Timur. Dalam kalangan penganut Batara Visnu itu, Rsi Santanu Murti tinggal berdiam di Desa Krandon dalam Kecamatan Talun, Kabupaten Cirebon. Wilayah Kecamatan Talun ini disaliri oleh tiga hulu sungai iaitu:
  • Sungai Grampak yang mengalir dari Desa Sarvadadi ke Desa Sampiran.
  • Sungai Suba yang mengalir dari Desa Patapan menuju ke Sampiran.
  • Sungai Cirebon Girang yang mengalir dari Desa Cirebon Girang menuju ke Sampiran.
Di Desa Sampiran, ketiga-tiga hulu sungai yang disebutkan itu bertembung menjadi satu. Pertembungan sungai-sungai itu digelarlah oleh Maharsi Santanu sebagai Ganga-nadi.
 
Seterusnya, 'Naskah Pustaka Rajya-Rajya I Bhumi Nusantara' menyebutkan bahawa kerajaan Indraprahastha ini didirikan oleh Maharsi Santanu yang berasal dari rantau Ganga, benua kecil India. Kedatangan baginda ke Jawa adalah kerana melarikan diri dari serangan oleh maharaja Samudra dari empayar Gupta. Kerajaan Indraprahastha ini didirikan pada 363 M dan baginda Maharsi Santanu berkuasa di situ sehingga tahun 398 M. Baginda digelar sebagai Prabhu Indasvara Sakalakrtabhuvana. Kekuasaan kerajaan ini bergandingan dengan kekuasaan kerajaan Salakanagara yang dipimpin oleh Prabhu Dharmavirya Devavarman VIII.
 
Maharsi Santanu berkahwin dengan Dewi Indari, anakanda Prabhu Dharmavirya Devavarman VIII. Kawasan penguasaan kerajaan ini meliputi Desa Sarvadadi Kacamatan Sumber yang menjadi pusat pemerintahan ketika itu, Cimandung di Desa Krandon Kecamatan Talun dan Desa Cirebon Girang. Raja-raja di situ menamakan rantau-rantau di Jawa itu dengan nama-nama asal di kerajaan lama mereka contohnya seperti Gunung Cireme dipanggil sebagai Gunung Indrakila, sungai di kawasan tersebut digelar Ganga-nadi dan tindakan memperdalam sungai itu pun diberikan gelaran oleh mereka sebagai Setu-ganga.