Danyang - Keramat Kampung

Danyang ini adalah makhluk halus tertinggi yang berdiam di pokok-pokok, gunung, sumber mata air, desa, mata angin atau bukit. Masyarakat Jawa percaya bahawa makhluk ini menetap di punden-punden atau kawasan keramat seperti kubur keramat. Ia diyakini memberikan pertolongan kepada sesiapa yang meminta pertolongannya.

Timbal balik yang diberikan kepadanya adalah dalam bentuk upacara yagña atau slametan. Makhluk ini adalah makhluk pelindung yang tidak mengganggu atau menyakiti sesiapa. Menurut kepercayaan orang Jawa, makhluk ini adalah roh nenek moyang di sesebuah kampung. Mereka ini boleh jadi pembangun sesebuah kampung atau orang pertama yang menerokai kawasan yang menjadi desa itu.

Sejarah Danyang

Danyang desa semasa masih hidup sebagai seorang manusia adalah seorang peneroka di kawasan yang menjadi di kampung itu. Kemudian, beliau menjadi penghulu di situ. Penghulu ini berkuasa membahagikan tanah-tanah kepada para pengikutnya dan keluarganya. Selepas meninggal dunia, orang ini dikebumikan dekat dengan pusat kampung lalu kuburnya diangkat menjadi punden. Punden ini dihormati penduduk di sesebuah desa. Ia dianggap sebagai keramat kampung yang melindungi kampung itu. Walau bagaimanapun, tidak semua kampung mempunyai kuburan khusus untuk para danyang di situ.
  • Pulung, iaitu jelmaan roh danyang yang boleh dilihat oleh orang tertentu. Jelmaan ini akan menjadi penentu kepada calon penghulu di sesebuah kampung pada malam sebelum pemilihan dijalankan. Pulung ini berbentuk seperti bulan bersinar dan bergerak ke rumah calon penghulu kampung yang diingini olehnya. Hanya ada satu sahaja jelmaan pulung di setiap kampung. Jika seseorang penghulu itu meninggal atau mengundurkan diri, maka pulung akan mencari penghulu yang baru. Calon-calon penghulu selalunya menjalankan upacara-upacara menarik pulung seperti menjalankan upacara yagña.
  • Kumara, iaitu rantau yang berada di bawah pengawasan danyang kampung. Kumara atau kemara ini adalah suara yang muncul dari kesunyian. Contohnya, semasa seorang bomoh terkenal di sebuah kampung itu meninggal dunia, maka akan terdengar suara yang muncul secara tiba-tiba tanpa diketahui asal-usulnya. Kumara ini adalah seluruh ruang angkasa kampung. Ia bukan sahaja berada di atas permukaan tanah.
  • Anak Danyang, iaitu makhluk halus yang membantu danyang mengawasi dan melindungi kampung. Mereka ini biasanya berdiam di empat penjuru kampung atau di hujung kampung.
Danyang dan Animisme

Animisme ini menjadi asas kepada kepercayaan yang dianuti oleh masyarakat Jawa. Ideologi ini meliputi keyakinan tentang wujudnya makhluk halus dan roh leluhur yang mendiami kawasan-kawasan tertentu. Walaupun orang Jawa sudah melalui pelbagai zaman perkembangan keagamaan, namun ideologi animisme ini masih wujud dalam kepercayaan masyarakat Jawa sehingga kini. Animisme Jawa ini membahagikan makhluk halus kepada tiga jenis iaitu danyang, lelembut dan roh nenek moyang.

Upacara Adat untuk Danyang

Upacara adat untuk memberikan sembahan kepada danyang sebagai pelindung kampung diadakan dalam bulan Sura dan bulan Ruwah mengikut kalender Jawa. Tujuan upacara ini dijalankan adalah untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan alam halus terutamanya alam roh danyang kampung.

Upacara-upcara yang dijalankan dalam bulan Sura akan digelar sebagai upacara Suran. Upacara dalam bulan Ruwah pula disebut sebagai Masa Sadranan. Penduduk kampung akan membersihkan kubur nenek moyang dan menyembahkan sesajian. Upacara Sadranan mewajibkan ahli keluarga melawat kubur nenek moyang mereka.

Bentuk sesajian adalah mengikut bulan:
  • Sesajian Bulan Sura, bubur dicampur dengan biji kecipir, jagung, kacang kara, biji asam, kemangi, kacang hijau, marica putih dan isi delima. Ia diikuti dengan kembang konyoh, dupa, kemenyan, madu dan beberapa keping duit.
  • Sesajian Bulan Ruwah, nasi pulen dengan daging goreng, pindang ayam yang diikuti dengan kembang konyoh, dupa, kemenyan, madu dan duit mengikut kemampuan.