Ringkasan Cetera Dewa Ruci

Diceriterakan bahawasanya Bhima itu memiliki seorang guru bernama Resi Drona. Resi Drona mengarahkan Bhima mencari Tirtha Pavitra atau Air Kehidupan yang kononnya membolehkan Bhima mencapai kesempurnaan dalam kehidupan.

Arahan Resi Drona ini hanyalah satu muslihat untuk menghapuskan Bhima supaya baginda tidak terlibat dalam peperangan Bharata yang hampir pecah itu. Bhima yang berkebaktian terhadap gurunya itu pun hanya menuruti perintah guru tanpa banyak soal. Baginda pun berangkat menuju ke tempat-tempat yang berbahaya seperti ketentuan yang diberikan oleh guru baginda.

Kawah Chandramukha

Baginda diutuskan ke Gunung Chandramukha namun baginda tidak menemui sebarang air kehidupan pun di situ. Baginda lalu di berjalan di sekitar Gua Chandramukha dan membongkar sana dan sini. Perbuatan baginda itu menyebabkan dua ekor raksasa bernama Rukmukha dan Rukmakala yang tinggal di situ berasa terganggu. Hal ini menyebabkan tercetusnya pertarungan antara kedua-dua ekor raksasa itu dengan baginda Bhima. Bhima membanting dan menendang kedua-dua ekor raksasa tersebut sehingga mereka mati. Akibat kegagalan menemui air kehidupan, Bhima pun pasrah sahaja lantas bersandar pada sebatang pohon beringin.

Tidak lama selepas itu, baginda Bhima mendengar suara yang muncul entah dari mana. Suara tersebut menyeru, "Wahai cucunda yang sedang bersedih, engkau mencari sesuatu yang tiada pun di sini. Mustahil engkau akan beroleh air kehidupan di sini". Suara tersebut sebenarnya muncul dari Dewa Indra dan Dewa Vayu. Mereka selanjutnya memberitahu Bhima bahawa kedua-dua ekor raksasa yang terbunuh itu sebenarnya sedang dihukum oleh Bhatara Guru (Dewa Siva). Bhima diperintahkan oleh Dewa Indra dan Dewa Vayu supaya kembali ke Hastinapura dahulu.

Pulang ke Hastinapura

Setibanyanya Bhima di Hastinapura, baginda pun menemui guru baginda. Resi Drona tidak mengakui dosa beliau yang menyuruh baginda ke Gunung Chadramukha mencari perkara yang tiada di situ. Sebaliknya, beliau berdalih bahawa beliau hanya menguji Bhima sahaja. Bhima diarahkan supaya ke Samudra pula mencari air kehidupan. Kaum kerabat Bhima melarang dan memberi amaran bahawa Bhima cuma diperangkap oleh Resi Drona sahaja. Bhima tetap teguh berpegang bahawa baginda akan meneruskan arahan guru baginda. Baginda akan tetap meneruskan perjalanan sekalipun ditimpa kecelakaan kerana baginda yakin bahawa tindakan baginda itu adalah memenuhi dharma dan semua perkara itu ada aturannya.

Bhima di Samudra

Setibanya baginda Bhima di tepi laut, baginda menenangkan segala perasaan yang timbul seperti ketakutkan dan keraguan sama ada baginda mampu untuk masuk ke samudra yang luas itu. Baginda masuk ke laut dengan menguak air bersama dengan Sang Aji Jhalasagara yang dianugerahi oleh Dewa Vayu kepada baginda. Baginda pun mampu bernafas dalam air disebabkan oleh Sang Aji Jhalasagara.

Ketika berada dalam air, baginda bertemu dengan seekor naga sebesar anak sungai yang memangsakan ikan dalam laut. Naga tersebut rupanya liar dan ganas, berbisa dan mulutnya luas laksana gua. Gigi taringnya tajam bercahaya dalam gelap air laut dan Bhima pun dililitnya sehingga ke pangkal leher. Bisanya disemburkan bagai hujan. Bhima beranggapan bahawa baginda akan hilang nyawa kerana baginda sudah letih meronta-ronta untuk melepaskan diri. Tiba-tiba baginda teringat akan kuku Panchanaka yang dibawa oleh baginda. Lalu baginda menikam tubuh naga tersebut sehingga memancut darah dari naga tersebut. Penduduk-penduduk dalam samudra itu pun bersuka ria kerana mereka sudah bebas dari ancaman naga tersebut.

Pertemuan dengan Dewa Ruci

Dalam samudra tersebut, Bhima turut bertemu dengan Dewa Ruci yang wajahnya serupa dengan wajah baginda. Dewa tersebut hanya sebesar telapak tangan Bhima sahaja. Namun, Dewa Ruci memerintahkan supaya Bhima masuk ke telinga kirinya. Perintah ini kelihatan mustahil namun Bhima mampu memasukinya. Apabila baginda Bhima masuk ke dalam telinga kiri Dewa Ruci itu, baginda mendapati bahawa dunia ini amatlah luas. Dewa Ruci menyeru kepada Bhima bahawa air kehidupan itu sebenarnya tidak wujud pun di mana-mana tempat dalam dunia ini. Perbuatan Bhima itu cuma sia-sia sahaja. Air kehidupan itu berada dalam diri manusia itu sendiri. Bhima terus memahami petunjuk dari Dewa Ruci itu bahawasanya Dewa Ruci itu adalah jelmaan diri baginda sendiri yang muncul memberikan ajaran kepada baginda kerana baginda telah mematuhi seluruh perintah guru baginda dengan kebaktian.

Bhima diperlihatkan dengan empat macam warna iaitu hitam, merah, kuning dan putih. Sabda Dewa Ruci, "Yang pertama kau lihat menyala itu tidak diketahui nama. Panchamaya itu, sesungguhnya berada dalam hatimu. Ia memimpin dirimu, menjadi maksud dari hatimu, menjadi muka peribadi, menuntun kepada peribadi yang lebih, menjadi hakikat peribadi itu sendiri. Lekaslah engkau pulang jangan berjalan. Selidiklah rupa itu jangan kau ragu, mata hati itu menandai hakikatmu, Warba merah, hitam, kuning dan putih itu penghalang hatimu. Hitam itu kerjanya amarah terhadap segala hal, murka ia yang menghalangi dan menutupi tindakan-tindakan kebajikan. Yang merah menunjukkan nafsu yang baik, segala keinginan keluar dari situ, panas hati namun menutupi hatimu yang sedar kepada kewaspadaan. Yang kuning itu hanya merosakkan, sedangkan yang putih itu nyata, tenang suci tanpa banyak fikiran, wira dalam damai. Makanya, hitam, merah dan kuning itu penghalang akal fikiran dan kehendak abadi, persatuan Suksma nan Mulia".

Lantas, Bhima melihat cahaya memancar kilatan, berpelangi melengkung, bentuk zat yang dicari, apakah gerangannya itu? Menurut Dewa Ruci, hal itu adalah kemampuan manusia untuk berwaspada, yang disebut sebagai Pramaṇa. Pramaṇa ini bersebati dalam diri tetapi ia tidak ikut merasai bahagia dan prihatin, bertempat tinggal dalam tubuh. Ia tidak ikut makan dan tidak ikut minum. Ia tidak berasa sakit dan tidak berasa menderita. Jika ia terpisah dari tempatnya, maka tinggal raga sahajalah tubuh tanpa sebarang daya. Sukṣmalah yang menghidupkan raga, menyebabkannya merasai derita, menjadi yang hak menikmati hidup, mengakui rahsia dari zatnya.

Kemudian tentang Sukṣma Sejati yang ada pada diri manusia itu tidak dapat dipisahkan. Ia tidak berbeza dengan kedatangannya sewaktu dulu, bersatu dengan kedamaian dunia, mendapat anugerah benar, persatuan antara kawula (hamba) dan Gusti (Tuhan). Manusia itu bagaikan wayang, dalang yang menjadi pemain segala gerak-geri dan berkuasa antara perpaduan kehendak. Dunia ini menjadi panggungnya, layar yang digunakan untuk memainkan panggungnya.

Sementelah kau fahami segala tanggungjawab dharma, rahsiakanlah ia dan tutupilah ia. Yang terbaik untuk yang di sini dan di sana juga. Bagaikan mati dalam hidup, bagaikan hidup dalam mati. Hidup abadi selamanya, yang mati itu juga. Badan itu hanyalah sekadar melaksanakan yang zahir, iaitu yang menuju kepada nafsu.

Mendengar kata-kata Dewa Ruci, hati Bhima pun terang benderang. Baginda menerimanya dengan sukacita dan mengharapkan mendapat anugerah wejang (petunjuk) yang sesungguhnya. Ujar Dewa Ruci lanjutnya, "Wahai Bhima, ketahuilah oleh engkau, perkara yang engkau kerjakan itu, tiada ilmu yang didatangkan, semua sudah pun engkau kuasai. Tiada lagi yang dicari, kesaktian, kepandaian dan keperkasaan kerana kesungguhan hatimu terletak dalam cara engkau melaksanakan pekerjaanmu".