Keagamaan Champa

Kebanyakan orang Champa di wilayah Ninh Thuan dan wilayah Binh Thuan di Viet Nam menganuti agama Brahmana iaitu salah satu agama dari benua kecil India. Kebanyakan dalam kalangan orang Champa di Kemboja pula beragama Islam dari mazhab Syiah. Sesetengahnya pula mengamalkan agama kacukan iaitu agama separa Islam dan separa agama Brahmana.

Pemimpin-pemimpin Champa yang beragama Brahmana pula terdiri daripada pedanda dari kasta Basaih, Paja atau pawang bujang dan Riju atau kawi yang menjadi penulis kitab. Kasta Camenei bertanggungjawab dalam penjagaan kuil-kuil dan kasta Kathar pula bertanggungjawab dalam bunyian-bunyian upacara agama. Pemimpin-pemimpin agama dalam kalangan penganut Islam terdiri daripada imam, wan-grou (imam besar) dan mo'du'on (khatib).

Selama berabad-abad lamanya kedua-dua agama ini menguasai pemikiran dan pandangan hidup orang Champa di Republik Viet Nam. Pengaruh agama Brahmana nampak jelas sekali dalam rantau mereka kerana pemujaan kepada ketiga-tiga tokoh dewata seperti Siva, Visnu dan Brahma dipuja di kuil-kuil yang dibina oleh mereka. Mereka turut memuja Sakti kepada Siva dan Sakti kepada Visnu dalam rupa Uma Parvati dan Laksmi.

Walaupun selepas ajaran Islam diperkenal kemudiannya dengan tarikh yang tidak diketahui. Namun, catitan orang Champa menunjukkan bahawa wujud masyarakat Islam di Champa semenjak abad ke-10 M lagi. Disebut juga bahawa raja-raja Champa membelanjakan harta mereka untuk pembinaan kuil-kuil dengan salah satunya menjadi kuil negara mereka. Dalam kuil-kuil mereka itu terdapat pedanda-pedanda Brahmana, devadasi, pelayan, pemain bunyian, ruangan-ruangan untuk wanita yang datang memuja dan untuk hamba-hamba mereka. Puing-puing kompleks kuil yang luas menunjukkan betapa pentingnya agama dalam pandangan hidup penduduk dan kerajaan Champa ketika itu.

Kedua-dua penganut Brahmana dan penganut Islam sama-sama menghadiri upacara kebudayaan mereka. Dua perayaan utama mereka adalah perayaan Bon Kate yang diadakan pada bulan September-Oktober setiap tahun dan perayaan Bon Chabur yang diadakan pada sekitar bulan Januari-Februari setiap tahun. Perayaan-perayaan ini menggabungkan unsur-unsur dari agama Hindu, Islam dan animisme. Selain itu, mereka turut mengadakan perayaan pemujaan nenek moyang.

Kuil Po Klong Garai (Bapa Naga Jarai) menjadi tempat mereka mengadakan perayaan dan tari-menari pada abad ke-13 M. Permaisuri Champa yang terakhir pun hadir pada upacara agama di situ. Penganut Brahmana akan membakar mayat saudara-mara mereka yang telah meninggal dunia dan abu mayat akan disimpan dalam perkuburan keluarga mereka. Penganut Islam pula akan mengebumikan mayat saudara-mara mereka yang telah meninggal dunia sebanyak dua kali. Kali pertama, mayat akan dikebumikan dalam kubur sementara. Setahun selepas itu atau beberapa tahun selepas itu, mayat akan dipindahkan ke perkuburan awam selepas upacara tahlil diadakan.       

Rujukan
  • Cham Religion: Cham Kaphir (Brahmans) and Cham Bani (Muslims) (online)