Resi Mahaguru Manikmaya adalah merupakan raja pertama kerajaan ini. Beliau berasal dari keluarga Śālaṇkāyana yang menyembah ke empayar Pallava. Sebelum tiba di Jawa Timur, baginda merantau di Gaudi atau Bengal, Mahasin atau Singapura, Sumatera, Gonusa atau Bali, Sangka, Javana, benua China dan lain-lain.
Resi Manikmaya kemudian berkahwin dengan Tirthakancana Devi iaitu puteri kepada Maharaja Suryavarman yang menjadi raja ketujuh di negara Tarumanagara (535-561). Sebagai hadiah perkahwinan, baginda dikurniai oleh bapa mertua baginda dengan rantau Kendan iaitu wilayah berbukit bukau di kabupaten Bandung di Indonesia pada zaman moden. Baginda juga dikurniai dengan rakyat dan bala tentera sendiri.
Resi Manikmaya dinobatkan sebagai Rajaresi di Kendan lengkap dengan kelengkapan kerajaan seperti mahkota raja dan mahkota untuk permaisuri baginda. Raja-raja naungan negara Tarumanagara menerima makluman mengenai penobatan ini melalui surat ciri yang meminta raja-raja lain menerima kenaikan ini dengan baik. Disebabkan Resi Manikmaya ini adalah seorang brahmin maka baginda dilayan sebagai seorang alim. Sesiapa yang berani melawan baginda akan dijatuhi hukuman mati oleh maharaja Tarumanagara dan kerajaan mereka akan dilupuskan.
Pewaris Pusaka Kerajaan Kendan
Rajaresi Manikmaya mempunyai putera dan puteri hasil perkahwinan dengan Tirthakanchana Devi. Salah seorang putera baginda iaitu Rajaputra Suraliman merupakan seorang yang tampan dan mahir ilmu peperangan. Baginda dilantik menjadi Senapati Kerajaan Kendan dan menjadi Panglima Balatantra atau Baladhika Tarumanagara.
Rajaresi Manikmaya memerintah di Kendan selama 32 tahun iaitu dari 536-568 M. Selepas kemangkatan baginda, Sang Baladhika Suraliman dinobatkan menjadi raja di kerajaan Kendan. Upacara nobat baginda ini berlangsung pada amavasya ke-12 dalam bulan Asuji tahun 490 Saka bersamaan 5 Oktober 568 M.
Raja Suraliman kemudian berkahwin dengan Mutyasari Devi, puteri kepada raja Bakulapura di kerajaan Kutai, Kalimantan. Baginda dikurniai sepasang cahaya mata. Putera sulung baginda diberi nama Sang Kandiavan. Adindanya diberi nama Sang Kandiavati. Sang Kandiavan digelar sebagai Rajaresi Devaraja atau Sang Layu Watang. Sang Kandiavati berkahwin dengan seorang saudagar dari Sumatera dan tinggal di sana.
Sang Suraliman merajai kerajaan Kendan selama 29 tahun iaitu dari tahun 568-597 M. Kemudian, baginda digantikan oleh Sang Kandiavan yang diangkat dari raja kecil di Medang Jati atau Medang Gana. Disebabkan hal ini, Sang Kandiavan diberikan gelar Rahiyangta ri Medang Jati. Baginda Sang Kandiavan memerintah Kendan dari Medang Jati yang kemungkinannya terletak di Cangkuang, Bandung. Hal ini kerana, Sang Kandiavan memuja Batara Viṣṇu manakala kerajaan Kendan memuja Batara Śiva. Penemuan tapak Candi Bojong Menie oleh Balai Arkeologi di Bandung mungkin memberikan sedikit gambaran mengenai situasi keagamaan zaman purba di kerajaan Kendan.
Sang Kandiavan mempunyai lima putera bernama Mangukuhan, Karungkalah, Katungmaralah, Sandanggreba dan Vretikandayun. Mereka diberikan kawasan-kawasan pentadbiran di Kulikuli, Sarawulan, Peles Awi, Rawung, Langit dan Menir. Kemungkinan juga tapak kerajaan-kerajaan ini berada di sekitar kabupaten Bandung dan kabupaten Garut di Jawa Barat.
Pembukaan Kerajaan Galuh
Sang Kandiavan merajai Kendan selama 15 tahun bermula 597 M sehingga 612 M. Pada 612 M, baginda mengundurkan diri dari takhta kerajaan lalu naik menjadi ajar-ajar di Layu Watang Kuningan. Rajaresi di Menir iaitu Sang Vretikandayun kemudian dinobatkan menjadi raja Kendan.
Sang Vretikandayun dinobatkan menjadi raja Kendan pada 23 Mac 612 M pada usia 21 tahun pada malam bulan purnama. Keesokan harinya, matahari terbit tepat di garis timur khatulistiwa, baginda mendirikan kerajaan baru iaitu kerajaan Galuh. Pusat pemerintahannya diapit oleh dua batang sungai yang bertemu iaitu Sungai Citanduy dan Sungai Cimuntur. Kedudukannya sekarang berada di Desa Karang Kamulyan, Kacamatan Cijeungjing dalam Kabupaten Ciamis.
Sang Vretikandayun berkahwin dengan Manavati, anak kepada seorang brahmin yang dikenali sebagai Resi Makandria. Manavati dinobatkan sebagai permaisuri dengan nama Candraresmi Devi. Mereka mempunyai tiga putera iaitu Sempakwaja yang lahir pada 620 M, Jantaka yang lahir pada 622 M dan Amara yang lahir pada 624 M.
Sang Vretikandayun dinobatkan sebagai raja kerajaan Kendan di Galuh. Maharaja Tarumanagara ketika itu adalah Sri Maharaja Kretavarman (561-628 M). Baginda memerintah sebagai raja yang menyembah ke Tarumanaga di bawah empat orang maharaja:
- Sudavarman. 628-639 M
- Devamurti, 639-640 M
- Nagajayavarman, 640-666 M
- Linggavarman, 666-669 M
Sang Vretikandayun mencapai usia 78 tahun di bawah Sang Tarusbawa. Disebabkan kerajaan Tarumanagara sudah hilang serinya ketika itu, Sang Tarusbawa yang lahir di Sunda Sembawa kemudian menukar nama kerajaan Tarumanagara menjadi kerajaan Sunda. Hal ini dilihat sebagai peluang kepada Sang Vretikandayun untuk mahardika atau memebaskan diri dari penguasaan kerajaan atasan.
Sang Vretikandayun segera menghantar rajaduta ke Pakuan (Bogor) yang ketika itu menjadi ibukota kerajaan Sunda. Surat yang dikirimkan itu menyatakan hasrat kerajaan Galuh untuk memisahkan diri dari kerajaan Sunda. Sang Tarusbawa yang cintakan keamanan dan bijaksana itu berfikir sejenak bahawa lebih baik baginda membangunkan separuh kerajaan bekas Tarumanagara itu daripada tamak menguasai keseluruhannya namun negara berada dalam keadaan lemah. Pada 670 M, empayar Tarumanagara berpecah dua menjadi kerajaan Sunda di sebelah barat dan kerajaan Galuh di sebelah timur. Sempadan kedua-dua negara itu adalah di Sungai Citarum.
Namun, pada 1482, kedua-dua kerajaan ini disatukan semula oleh Sri Baduga Maharaja Prabhu Siliwangi lalu membentuk kerajaan Sunda Pajajaran. Cetera lengkap berkenaan dengan kerajaan Kendan ini datangnya dari naskah Pustaka Rajyarajya I Bhumi Nusantara parva II sarga IV, Naskah Wangsakreta.