Kerajaan Medang Mataram

Kerajaan Medang Mataram adalah sebuah kerajaan Jawa yang mengamalkan ajaran Buddha Mahayana yang dibawa dari Jambudvipa. Kerajaan ini berkembang di sana sekitar abad ke-8 dan ke-11 M. Pusat kerajaan ini adalah di Jawa Tengah dan seterusnya berpindah ke Jawa Timur. Kerajaan ini dibangunkan oleh Raja Sañjāya dan ia pernah dikuasai oleh dinasti Śailendra.

Dalam kebanyakan masa sejarahnya itu, kerajaan ini nampaknya bergantung kepada pertanian khususnya sawah padi. Kemudian, ia mula beralih kepada perdagangan maritim. Menurut sumber-sumber asing dan arkeologi, kerajaan ini kelihatan diduduki oleh penduduk yang ramai dan makmur. Kerajaan ini turut memperkembang sistem masyarakat yang rumit, mempunyai kebudayaan yang sempurna dan mencapai tahap kebudayaan yang canggih pada ketika itu.

Dalam era antara lewat abad ke-8 sehingga pertengahan abad ke-9 M, kerajaan ini menyaksikan perkembangan kesenian Jawa dan senibina Jawa. Hal ini disaksikan dengan peningkatan pembinaan kuil yang mengisi lanskap di Lembah Kedu di kerajaan Mataram. Antara kuil terkenal yang dibina dalam kerajaan ini adalah:
  • Candi Kalasan
  • Candi Sewu
  • Candi Borobudur
  • Candi Prambanan
Dalam perkembangan sejarah kemudiannya, kerajaan ini terbahagi kepada dua dinasti yang dijatikan dengan pegangan agama mereka iaitu dinasti penganut ajaran Buddha dan dinasti pengikut Batara Śiva. Perang saudara tidak dapat dielakkan dan hasilnya kerajaan ini terbahagi dua iaitu dinasti Iśāna yang menganut ajaran Śaiva di kerajaan Medang dikepalai oleh Rakai Pikatan dan dinasti Śailendra dari kerajaan Śrīvijaya di Sumatera, dikepalai oleh Balaputradeva. Keganasan antara kedua-dua kerajaan ini tidak berakhir sehingga 1006 iaitu apabila dinasti Śailendra  menghasut kerajaan Wurawari yang merupakan negara naungan Medang Mataram. Ibu kota kerajaan ini di Watu Galuh, Pulau Jawa dihancurkan oleh kerajaan Śrīvijaya. Dengan itu, kerajaan Śrīvijaya naik menjadi kuasa besar di rantau ini. Walau bagaimanapun, kerajaan Medang Mataram terselamat juga. Ia berpindah ke Jawa Timur pada 1019. Di situ raja Airlangga, putera kepada raja Udayana Varmadeva mengasaskan kerajaan Kahuripan.