Kerajaan Śālakanagara

Kerajaan ini juga dikenali sebagai Kerajaan Rajatapura atau Kerajaan Kota Perak. Sastera Wangsakreta menyatakan bahawa ia adalah salah satu kerajaan tertua di Pulau Jawa. Tokoh awal yang berkuasa di sini adalah Sang Aki Tirem. Sang Aki Tirem kemudian menjadi bapa mertua kepada seorang pedagang dari empayar Pallava bergelar Devavarman. Devavarman berkahwin dengan Dewi Pohaci Larasati. Pengikut-pengikut Devavarman juga berkahwin dengan wanita-wanita tempatan dan enggan kembali lagi ke kerajaan Pallava.

Sang Aki Tirem kemudian meninggal dunia. Maka, Devavarman menggantikan beliau menjadi datu di situ. Pada 130 M, beliau membangunkan kota Rajatapura dan menjadi raja di situ dengan gelaran Prabhu Dharmalokapala Devavarmana Aji Raksa Gapura Sagara. Beberapa kerajaan kecil di sekelilingnya pun meminta suaka naungan. Antaranya adalah seperti kerajaan Agninusa di Pulau Krakatau. Kononnya, kota inilah yang disebut sebagai Argyre atau Perak atau Merak oleh Ptolemy pada tahun 150 M. Ia terletak di daerah Teluk Lada Pandeglang iaitu sebelah barat provinsi Banten di Republik Indonesia. Kota menjadi pusat pemerintahan dinasti Devavarman iaitu dari Devavarman I - VIII iaitu sejak tahun 362 M.

Kaitan Salakanagara dengan Tarumanagara
 
Seterusnya, Jayasiṃhavarman yang mengasaskan kerajaan Tarumanagara ialah seorang menantu kepada Raja Devavarman VIII. Jayasiṃhavarman sendiri adalah seorang maharesi dari dinasti Salankayana. Baginda melarikan diri sehingga ke Jawa Barat kerana mereka diserang dan negara mereka di benua kecil India telah ditakluki oleh baginda Maharaja Samudragupta dari kerajaan Magada. Raja Śālaṇkāyana di negara kota Vengi ketika itu adalah Raja Hastivarman. Jayasimhavarman memindahkan pusat kerajaan dari Rajatapura ke Tarumanagara. Tarumanagara kemudian berkembang menjadi sebuah negara-kota.

Kerajaan-Kerajaan Naungan

Kerajaan-kerajaan naungan bagi kerajaan ini adalah seperti berikut:

A. Kerajaan Ujung Kulon

Kerajaan ini didirikan oleh Senapati Bahadura Harigana Jayasakti iaitu adinda kepada baginda Raja Devavarman I sendiri. Pada masa pemerintahan Dharma Satyanagara, raja ini mengahwini puteri kepada baginda Raja Devavarman III. Raja Dharma Satyanagara kemudian menjadi Devavarman IV di Śālakanagara.

Seterusnya, kerajaan Tarumanagara berkembang menjadi kerajaan besar. Raja ketiga dari kerajaan itu kemudian menakluki kerajaan Ujung Kulon sehingga ia terpaksa menyembah ke Tarumanagara. Tentera dari kerajaan Ujung Kulon kemudian membantu tentera Raja Viṣṇuvarman, raja keempat di Tarumanagara untuk memadamkan pemberontakan Cakravarman.

B. Kerajaan Tanjung Kidul

Kerajaan ini beribukota di Aghrabintapura. Kota itu kini termasuk dalam wilayah Cianjur Selatan di kabupaten Cianjur. Kerajaan ini diperintah oleh Śwetalimanśakti, adinda kedua kepada Devavarman I.

Senarai Raja Kerajaan Śālakanagara
  • 130-168 M Devavarman I - Prabhu Dharmalokapala Aji Raksa Gapura Sagara, pedagang Bharata (India purba) yang berkahwin dengan Dewi Pohaci Larasati.
  • 168 - 195 M Devavarman II - Prabhu Digvijayakasa Devavarmanputra, putera sulung Devavarman I.
  • 195 - 238 M Devavarman III - Prabhu Simhasagara Bhimayasavirya, putera Devavarman II.
  • 238 - 252 M Devavarman IV - Raja Ujung Kulon yang menjadi menantu Devavarman II.
  • 252 - 276 M Devavarman V - Menantu kepada Devavarman IV.
  • 276 - 289 M Mahesa Suramardini Varmandevi - Puteri sulung Devavarman IV dan permaisuri kepada Devavarman V kerana baginda gugur semasa berperang dengan lanun.
  • 308 - 340 M Devavarman VII - Prabhu Bhima Digvijaya Satyaganapati, putera sulung Devavarman VI.
  • 340 - 348 M Sphatikarnava Varmandevi - Puteri sulung kepada Devavarman VII.
  • 348 - 362 M Devavarman VIII - Prabhu Dharmavirya Devavarman, cucunda kepada Devavarman VI yang berkahwin dengan Sphatikarnava yang merupakan pemerintah terakhir negara ini.
Bermula tahun 362 M, di bawah pemerintahan Devavarman IX, kerajaan ini dibawa masuk menjadi negara naungan kepada kerajaan Tarumanagara.