Orang Laut


Orang Laut adalah salah satu kelompok suku kaum Melayu Tua atau Melayu Proto yang hidup di sekitar Singapura, Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Riau. Selain itu, Orang Laut boleh merujuk kepada sesiapa sahaja yang berbangsa Melayu yang berada di pesisir pulau, seperti di Laut Andaman di India, di Selatan Thailand dan Selatan Myanmar. Di Thailand dan di Myanmar, mereka dikenali sebagai Moken.

Istilah bahasa Melayu iaitu Orang Laut merujuk kepada mereka yang hidup di dalam perahu dan mengembara dengan perahu di tengah lautan. Selain itu, mereka yang tinggal di antara Selat Melaka pula dikenali sebagai Orang Selat. Orang Eropah menyebut Orang Selat sebagai the Celates.

Istilah Orang Laut ini sebenarnya adalah rujukan kepada bangsa Melayu yang terdiri daripada pelbagai suku kaum yang mendiami pulau-pulau dan muara sungai di Kepulauan Riau-Lingga, Pulau Tujuh, Kepulauan Batam dan pesisir pantai atau pulau-pulau yang berhadapan dengan timur Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.

Dari segi sejarah, Orang Laut memainkan peranan penting dalam perluasan empayar Srivijaya pada zaman purba. Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor kemudian turut mempunyai panglima dan pahlawan tentera dari dalam kalangan Orang Laut. Mereka menjalankan rondaan di kawasan-kawasan laut, menghalau lanun, mengarahkan dan melindungi pedagang masuk ke pelabuhan negara mereka serta menjaga seri pelabuhan negara-kota mereka. Keterangan terawal mengenai Orang Laut ini boleh didapati dalam rekod pengembara dari China iaitu Wang Dayuan yang menjelaskan mengenai penduduk di Temasek (Singapura moden) dalam karya beliau yang berjudul Daoyi Zhilue.

Sumber Gambar: Woonschuit van een Oerang Laoet familie, Ka. Toengkal, Tropen Museum, the National Museum of World Cultures