Orang Temuan

Uwang Temuan atau Eang Temuan adalah salah satu suku kaum Melayu Tua yang tergolong dalam kelompok Orang Asli mengikut sistem pendaftaran Malaysia di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Mereka boleh ditemui di negeri-negeri:
  • Selangor
  • Pahang
  • Johor
  • Negeri Sembilan
  • Melaka
Mereka adalah kelompok yang terbesar dengan jumlah hampir 30,000 orang dan mereka antara kelompok yang paling besar sebaran kependudukannya di Semenanjung Malaysia. Bahasa mereka adalah bahasa Temuan yang tergolong dalam rumpun bahasa Austronesia dan bertalian rapat dengan bahasa Melayu. Sama seperti suku kaum Orang Asli lain di Malaysia, kebanyakan mereka diklasifikasikan sebagai hidup dalam kemiskinan walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang sudah mencapai tahap kelas menengah rendah dan berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan serta swasta.
 
Lagenda  Asal-Usul
 
Beribu-ribu tahun dahulu, ramai orang Temuan yang mati disebabkan perbuatan celau. Celau ini bermaksud bala hasil perbuatan yang menimbulkan kemurkaan Tuhan dan kemarahan nenek moyang. Maka, Tuhan menghantar celau sebagai balasan. Celau tersebut berupa banjir besar yang menenggelamkan semua pendosa Temuan pada ketika itu. Hanya dua orang Temuan sahaja yang terselamat iaitu Mamak dan Ina' Bungsu'. Mereka telah memanjat pokok gaharu di Gunung Raja di sempadan Pahang dan Selangor. Di situ pun memang terdapat kampung orang Temuan dikenali sebagai Kampung Orang Asli Pertak. Mamak dan Ina' Bungsu' membaca mantra atau serapah bagi mengurangkan kesan celau di sekitar mereka semasa berlaku ribut.
 
Gunung Gajak atau Gunung Rajah di Pahang dianggap sebagai tempat asal suku kaum Temuan. Dalam ceritera lagenda suku kaum ini, Mamak Bungsu' dan Ina' Bungsu' ini kelihatan sama seperti Adam dan Hawa dalam penceriteraan bangsa Semitik di Timur Tengah. Selain itu, cerita celau mereka juga hampir sama dengan cetera banjir besar bangsa Semitik semasa zaman Nuh.
 
Kepercayaan
 
Kepercayaan tradisional mereka adalah bahawa Tuhan dan roh nenek moyang mereka sentiasa bersama mereka dan melindungi mereka. Pada hujung setiap tahun, mereka akan merayakan Aik Gayak Muyang atau Hari Raya Moyang. Perayaan ini adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan dan nenek moyang yang mengurniakan tanaman subur dan kehidupan makmur mereka.
 
Selain itu, mereka percaya bahawa mereka ditempatkan di bumi Tanah Tujuh oleh Muyang sebagai pelindung yang bertanggungjawab terhadap hutan hujan. Jika mereka gagal menjalankan tugasan suci ini maka seluruh dunia akan dilanda bencana dan manusia seluruhnya akan musnah.
 
Setiap sungai, bukit, batu, pokok, saliran sungai dan tumbuhan renek serta sebagainya itu berpenunggu. Sungai berpenunggu naga dan ular. Jika kawasan mereka diganggu gugat maka bencana pun akan muncul. Kebudayaan mereka ini dicerminkan dengan kehidupan mereka yang dikelilingi oleh alam sekitar. Kepercayaan animisme yang diamalkan mereka ini datang dalam pelbagai rupa:
  • pantang larang
  • rawatan herba
  • upacara-upacara
  • ilmu-ilmu kebatinan
Dukun-dukun dan bomoh akan menjalankan upcara menurun serta berkomunikasi dengan makhluk-makhluk halus di alam sekitar. Bomoh akan mengetuai upacara sawai atau sewang iaitu upacara penyembuhan tanah yang memberi penghormatan kepada nenek moyang serta penunggu-penunggu sekitar mereka.
 
Walaupun penduduk-penduduk suku kaum Temuan ini terikat dengan kepercayaan animisme, mereka kini sudah pun menganuti agama Kristian atau agama Islam. Hal ini terjadi kerana hubungan perkahwinan antara suku Temuan dengan bangsa-bangsa lain sama ada dengan orang Melayu Jati, orang Cina atau suku kaum lain.