Pengasas Kerabat Diraja Melayu dan Pertarungan dengan Ular Saktimuna

Berdasarkan rujukan orientalis, rekod-rekod menunjukkan bahawa terdapat satu wangsa yang terbit dari 'raja-raja di pergunungan' yang memerintah negara kota tua di Pelambang atau Srivijaya dari sekurang-kurangnya abad ke-7 sehingga abad ke-15 masehi. Wangsa ini telah menguasai Jawa Tengah seawal tahun 778 masehi dan menuntut kedaulatan di Jawa Barat selama 400 tahun. Kemungkinannya juga mereka telah memperkenalkan ajaran Buddha Mahayana di sana.

Oleh kerana agungnya kerajaan Buddha ini sehingga pemerintah Muslim dari Minangkabau yang menuntut pemerintahan Palembang selepas ia dihancurkan oleh kerajaan Hindu dari Jawa pun turut menggambarkan Srivijaya sebagai salah satu daripada kerajaan teragung dunia di samping empayar Romawi Timur atau Byzantine dan empayar China. Ketiga-tiga kerajaan ini digolongkan oleh mereka sebagai anak-anak kepada Iskandar yang Agung.

Pada abad ke-17 masehi, Tarikh Melayu mencatitkan kisah mengenai seorang putera raja Kalinga, berketurunan Iskandar Agung dengan gelaran Bichitram Shah, anakanda kepada Raja Suran telah menyebabkan kerosakan di sepanjang pantai barat Tanah Melayu. Kisah ini jelas sekali menunjukkan permusuhan antara Srivijaya dengan Chola sekitar abad ke-11 masehi.

Dalam edisi terjemahan Tarikh Melayu oleh Shellabear, Bichitram Shah disebut sebagai tidak berpuas hati dengan ayahandanya yang mengurniakannya dengan negara kota kecil bernama Chandukani. Hal ini menyebabkan baginda belayar keluar dari benua kecil India untuk menjalankan penaklukan. Walau bagaimanapun, kapal baginda berserakan disebabkan oleh hentaman puting beliung di lautan sehingga tidak kedengaran lagi berita mengenai baginda. Menurut Dulaurier yang menulis dalam Collection des Principales Chroniques Malayes, vol. II yang diterbitkan di Paris pada tahun 1856 dalam muka surat 35, Bichitram Shah ditemani oleh Sang Nila Pahlawan, Sang Kisna Pandita dan Sang Nila Uttama. Mereka turun dari kayangan ke salah satu pergunungan di Palembang.

Bichitram Shah diberikanlah gelaran Sang Sapurba selepas memerintah negara kota di situ. Baginda berkahwin dengan Raden Sendari, puteri kepada Demang Giwanan lalu mempunyai dua orang putera iaitu Sang Maniaka dan Sang Nila Kisna. Terjemahan Shellabear menyatakan bahawa tiga orang telah menjelma di bukit Palembang iaitu Sang Nila Pahlawan, Sang Krisna Pandita dan Sang Nila Uttama. Ketiga-tiga mereka ini adalah saudara tiri kepada Bichitram Shah. Ayahanda mereka adalah Raja Suran manakala ibunda mereka pula adalah puteri dari kerajaan di dasar lautan. Sang Nila Uttama diberikanlah gelaran Sang Sapurba. Baginda berkahwin dengan anak perempuan kepada Datu tempatan di Palembang lalu mendapat seorang putera, Sang Maniaka. Saudara-saudara baginda pula berkahwin dengan Wan Empuk dan Wan Malini. Gadis-gadis inilah yang ditemui oleh ketiga-tiga putera ini semasa mereka menuai padi.

Nama-nama Sapurba, Maniaka dan Nila Uttama nampaknya adalah korupsi sebutan Suprabata, Menaka dan Tilottama iaitu tiga orang apsara yang berdiam di Indraloka. Orientalis berpendapat bahawa terdapat banyak lagi warna Hindu dalam lagenda yang tidak teratur susunan zamannya ini. Sang Nila Uttama turun di tapak penuaian padi di bukit Palembang sambil menunggang lembu putih. Dari muntah lembu putih itu, muncullah pujangga yang membacakan mantra-mantra kenaikan kesatria ke kerajaan. Mantra-mantra ini masih lagi dibacakan semasa Sultan Perak yang dimahkotakan itu dipakaikan dengan gelang naga purba dalam istana Perak oleh Dato' Sri Nara Diraja, keturunan Pujangga yang disebutkan itu. Keturunan mereka tidak makan daging lembu. Pada masa yang sama juga nama Hindu Sang Sapurba yang sebenarkan akan dibacakan oleh Dato' Sri Nara Diraja ke telinga Sultan. 

Sekali lagi, bukit Palembang kemudian dilambangkan sebagai Mahameru yang menjadi pusat alam semesta, kediaman Bhattara Vishnu dan Bhattara Indra. Yang terakhir sekali, nama si gadis yang ditemui mereka iaitu Malini nampaknya mempunyai bau bahasa Sanskrit yang bermaksud kalungan bunga.

Kisah ini diteruskan lagi bahawa selepas merayau di Jawa, Borneo dan Bentan, Sang Sapurba kemudian belayar ke Minangkabau. Ketika itu, datu tempatan di Minangkabau dikenali sebagai Pateh Suatang memaklumkan kepada Sang Sapurba bahawa ketibaan mereka itu menandakan tuah. Mereka menyambut rombongan Sang Sapurba dan mereka bersedia melantiknya sebagai raja. Sementara itu, Minangkabau diserang oleh ular Saktimuna. Pelbagai usaha telah mereka jalankan namun ramai yang tercedera. Mereka meminta bantuan Sang Sapurba menghapuskan ular itu. Sang Sapurba pun bersetuju lalu meminta mereka menunjukkan sarang ular tersebut kepada baginda. Sang Sapurba kemudian menghantar seorang perwira bernama Permasku Mambang dengan pedang Chora Semandang Kini bagi menjalankan tugasan. Sebaik sahaja Permasku Mambang melihat ular tersebut melingkar seperti busut, beliau terus menetak ular itu sehingga putus tiga. Dalam pertarungan Permasku Mambang dengan Saktimuna ini, pedang tersebut menerima 199 patukan (Tarikh Melayu terjemahan Leyden, ms. 39). Menurut versi ini, Sang Sapurba dimahkotakan sebagai raja Minangkabau. Menurut sumber lain pula, baginda sudah pun dimahkotakan sebagai raja dan kemudian diuji oleh penduduk tempatan kemudiannya dengan ular Saktimuna.

Pedang Chora Semandang Kini kemudian menjadi alat kebesaran Minangkabau. Dalam Chindur Mato, pedang tersebut digelar sebagai Madang Giri. Dalam kisah lain dari "Salasilah Raja-Raja Pulau Percha" dalam simpanan Sultan Inderapura (Miscellanies, Sumatran Mission Press, Bencoolen, 1822, vol. II) menyebut bahawa Permasku Mambang kemudian diangkat menjadi raja di Langkapura atau Palembang. Salah seorang keturunan Permasku Mambang ini telah dihalau oleh kerajaan Mataram dari Palembang. Keturunan Permasku Mambang itu kemudian mengasaskan kerajaan Pagar Ruyong dan menjadi raja Minangkabau.

Rujukan
  • R.O. Winstedt, Founder of Malay Royalty and His Conquest of Saktimuna, The Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society - vol.IV, 1926: ms. 413-419 (online)