Pengertian Kerohanian Dewa Ruci

Cetera Dewa Ruci ini cuba untuk menyampaikan perihal bahawa hasrat keinginan manusia yang berterusan ingin menjejaki kewujudan Tuhan. Manusia itu pun lantas memulakan pencariannya dengan pertimbangan akalnya.

Disebutkan bahawa manusia itu dianggap sebagai jagat cilik atau alam semesta yang kecil (mikrokosmos) sedangkan jagat raya atau alam semesta besar (mikrokosmos) itu adalah merupakan jelmaan dari Tuhan sendiri. Sebelum seseorang itu melangkah lebih lanjut lagi menyelam ke dalam dirinya mencari Tuhan, maka ia pun mula mencari takrif bagi dirinya. Namun, pentakrifan diri ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Setiap kali pentakrifan diri itu dibuat, maka hakikat dirinya pun mula dirasakan semakin sempit. Pentakrifan ini selalu sahaja memaparkan sepotong sahaja dari hakikat yang rumit.

Cetera ini cuba menyampaikan bahawa jagat cilik itu sama luasnya dengan jagat raya. Dalam jiwa itu terpendam rahsia mengenai yang lebih besar. Dari sini muncullah pepatah bahawa, 'Kenali dirimu sendiri, maka kamu pun mengenali jagat raya'. Hal ini seterusnya menjadi pegangan penduduk di Jawa sejak zaman berzaman.

Perjalanan Bhima mencari air kehidupan itu mengandungi banyak sekali simbolik perjuangan manusia menentang hawa nafsu sendiri yang menghalang kemajuan diri seseorang manusia. Simbolik seperti pertarungan dengan naga untuk menemui Dewa Ruci itu semuanya mengandungi pengertian tersirat untuk nafsu makan, nafsu gila kuasa, nafsu menyombongkan diri dan sebagainya.

Bhima mencapai kesempurnaan kerana watak ini digambarkan sebagai rela, patuh, waspada, eling (berjaga-jaga tidak lupa diri) dan rendah hati. Seseorang yang mengenali dirinya itu akan menjalankan tugas-tugasnya di dunia ini sebagai satu amanah tanggungjawab dan bukannya sesuka hatinya.