Pensejarahan Kerajaan Kalinga

Catitan sejarah mengenai kewujudan kerajaan ini diceduk dari dua sumber utama iaitu:
  • catitan-catitan kerajaan-kerajaan Jawa dan dinasti Tang
  • cetera lisan setempat mengenai Ratu Sima
Cetera Parahyangan

Berdasarkan Cetera Parahyangan yang disusun pada abad ke-16 masehi, Dewi Parvati, anakanda kepada Ratu Sima berkahwin dengan Putera Mandi Minyak dari Kerajaan Galuh. Putera Mandi Minyak dilantik menjadi raja titisan kedua di Kerajaan Galuh.

Ratu Sima juga memiliki cucunda bernama Dewi Sanaha yang berkahwin dengan Raja Bhratasena, raja titisan ketiga di Kerajaan Galuh. Dewi Sanaha dan Raja Bhratasena dikurniai anakanda bernama Sanjaya. Raja Sanjaya ini kemudian menjadi raja di Kerajaan Sunda dan Kerajaan Galuh iaitu pada sekitar abad 723-732 M.

Baginda Ratu Sima mangkat pada 732 M lalu takhta Kerajaan Kalinga Utara kemudian diperintah juga oleh Raja Sanjaya yang merupakan cicit kepada Ratu Sima. Rantau itu kemudian digelar sebagai Bhumi Mataram dan Raja Sanjaya pun mengasaskan Sanjayavamsa di situ.

Pemerintahan di Jawa Barat lantas diserahkan oleh Raja Sanjaya kepada anakanda baginda dengan Dewi Teja Kancana iaitu Putera Tamperan Varmavijaya yang bergelar Rakeyan Panaravan. Raja Sanjaya turut berkahwin dengan Dewi Sudivara, puteri kepada Raja Devasimha, Raja Kalinga Selatan atau Bhumi Sambhara. Hasil perkahwinan ini, baginda dikurniai dengan Rakai Panangkaran.

Catitan Prasasti Tempatan

Pada abad ke-5 masehi, Kerajaan Kalinga dianggarkan terletak utara Jawa Tengah pun muncul. Pada tahun 752 masehi, Kerajaan Kalinga ditakluki oleh Empayar Srivijaya kerana kerajaan ini termasuk dalam jaringan perdagangan bangsa-bangsa Hindu bersama dengan Kerajaan Malayu dan Kerajaan Tarumanagara. Kerajaan Kalinga, Kerajaan Malayu dan Kerajaan Tarumanagara ini memberikan saingan yang kuat kepada perdagangan Kerajaan Srivijaya menyebabkan kerajaan ini berkeputusan memukul mereka semua sehingga mereka menyembah ke maharaja Srivijaya.

Cetera Tempatan

Di Utara Jawa Tengah, terdapat lagenda yang menyebutkan mengenai seorang raja wanita yang sangat-sangat menjunjung tinggi keadilan dan kebenaran. Baginda ini sangat mengutamakan undang-undang sehingga baginda tidak mempedulikan status dalam menegakkan keadilan.

Cetera ini menyebutkan mengenai Ratu Sima yang mengajarkan rakyat baginda supaya sentiasa jujur dan baginda bertindak keras terhadap kegiatan pencurian. Hukuman keras seperti potong tangan dijalankan ke atas sesiapa yang berani mencuri dalam kerajaan baginda.

Hal ini sampai ke pengetahuan pemerintah di Tanah Arab yang menurut kepada catitan orang tempatan adalah dari dinasti Umayyah. Pemerintah tersebut pun ingin menguji raja wanita ini dengan memerintahkan supaya pedagang kerajaan baginda meletakkan peti wang emas di simpang jalan berdekatan dengan pasar di Kerajaan Kalinga. Didapati bahawa tiada sesiapa pun yang berani menyentuh peti tersebut.

Tiga tahun kemudian, putera mahkota kerajaan menyentuh peti tersebut dengan kaki baginda. Ratu Sima atas sebab menjunjung keadilan, telah menjatuhkan hukuman mati ke atas putera mahkota baginda. Mamanda menteri sekelian memohon supaya baginda Ratu mengampunkan kesalahan putera mahkota, maka hukuman dikurangkan kepada memotong kaki baginda.

Pada pandangan pencatit kisah ini, pemerintah Arab tersebut sangat kejam kerana menyebabkan putera mahkota Kerajaan Kalinga dipotong kakinya hanya kerana ingin menguji prinsip keadilan di Kerajaan Kalinga. Nampak bahawa kerajaan Hindu ini lebih baik daripada kerajaan Arab yang pemerintahnya bodoh dan zalim menyebabkan seseorang tercedera di negara timur jauh.

Catitan Dinasti Tang

Dinasti Tang (618-906 M) memberikan sedikit gambaran mengenai kewujudan Kerajaan Kalingga. Kalinga digambarkan terletak di Lautan Selatan dan disebut sebagai Dhawa. Sebelah utaranya pula adalah Kambujadesa dan sebelah timurnya adalah Bali Dvipa. Sebelah baratnya adalah Sumatera.

Ibu kota Kalinga dikelilingi oleh tembok-tembok yang dibuat dari pacakan kayu. Ratu pemerintah kerajaan tinggal dalam bangunan besar bertingkat, beratap daun nipah dan singgahsana kerajaan dibuat dari gading gajah. Penduduk di Kalinga membuat tuak dari bunga kelapa. Kerajaan ini mengeluarkan sumber seperti kulit penyu, emas, perak, cula badak dan gading gajah.

Pada tahun 674, Kalinga diperintah oleh Ratu Sima. Baginda adalah ratu yang adil dan bijaksana. Kerajaan ini aman dan tentera di bawah pemerintahan baginda Ratu.

Catitan Bhiksu Yi Jing

Catitan pada tarikh tahun 664 atau 665 M menyatakan bahawa pada abad ke-7 masehi, Tanah Jawa menjadi salah stau pusat perkembangan ajaran Buddha aliran Sravakayana. Seorang bhiksu Cina bernama Hui Ning berusaha menterjemahkan kitab Buddha ke dalam bahasa Cina di Kalinga. Beliau bekerjasama dengan pendita dari Jawa bernama Jhanabhadra. Kitab ini turut memuatkan cetera mengenai Nirvana.