Serangan Jawa ke atas Champa

Pada 767, pesisir pantai Tonkin diserang oleh lanun-lanun Jawa (Daba) dan Kunlun (Melayu). Mereka menyerang sekitar rantau Hanoi, ibukota Tonkin (Annam) yang berada dalam Vietnam pada zaman moden. Mereka mengganggu Tongking dan dihapuskan oleh gabenor Chang Po-I di sekitar Son-Tay.

Pada 774 dan 787, Champa diserang lagi oleh kapal-kapal dari Jawa atau dari Kunlun. Pada 774, Jawa melancarkan serangan ke atas Po-Nagar dan Nha-Trang. Lanun-lanun Jawa merosakkah kuil-kuil di situ. Pada 787, serangan dilancarkan lagi di Phan-rang. Beberapa kota pesisir pantai Champa rosak teruk diserang oleh kapal-kapal Jawa. Armada Jawa digelar sebagai Javabala-sanghair-nāvāgataih dalam rekod-rekod Champa.

Semua serangan ini dipercayai dilancarkan oleh dinasti Sailendra yang menguasai Jawa dan Srivijaya. Sebab-sebab serangan yang mungkin oleh dinasti Sailendra ke atas Champa adalah disebabkan oleh persaingan dalam perdagangan merebut pasaran China.

Kuil Siva yang merumahkan Sivalinga di Po Nagar dirosakkan di negara-kota Kauthara pada 774 M. Sumber-sumber Champa menyebut bahawa penceroboh tersebut adalah orang asing, pelaut, pemakan makanan kotor, berupa menyeramkan, hitam dan kurus. Serangan pada 774 M itu berlaku semasa zaman Satyavarman bergelar Isvaraloka. Rujukan-rujukan dari rekod Champa itu dipercayai oleh sejarawan sebagai merujuk kepada orang Jawa.

Jawa dipercayai mempunyai hubungan perdagangan dan kebudayaan dengan Champa. Serangan-serangan ke atas Champa sebenarnya bermula dengan serangan ke atas Kemboja. Orang Jawa melancarkan serangan dari Pulau Kundur di Riau. Penyerang-penyerang ini boleh jadi berasal dari Malaya, Sumatera dan Jawa atau kesemuanya sekali.

Kuil Po Nagar Nha Trang di Kauthara dihancurkan apabila lelaki-lelaki berkelahiran negara asing yang menyeramkan, berkulit gelap, tidak berbelas kasihan, yang makanan mereka itu lebih teruk daripada bangkai berupa bengis datang dari kapal-kapal ... mencuri Sivalinga dan menyalakan api membakar kuil. Hal ini dicatitkan pada epigrafi di Nha Trang dalam bahasa Sanskrit bagi merekodkan serangan yang dilancarkan oleh dinasti Sailendra ke atas Champa.

Pada 787 M, tentera-tentera dari Jawa melakukan perbuatan khianat ke atas Kuil Sri Bhadradhipatesvara di Phan-rang. Serangan mereka sering dilancarkan dari laut. Pada ketika ini raja pemerintah Champa adalah baginda Indravarman. Disebutkan juga bahawa angkatan tentera Jawa, datang dengan kapal-kapal pada 787 menyerang dan pada serangan lampau mereka itu Satyavarman, raja Champa berjaya menghapuskan mereka dan kapal mereka itu dikejar oleh kapal-kapal Champa lalu dihempaskan di laut. Orang-orang itu semuanya bergantung hidup pada makanan yang lebih teruk daripada bangkai, menyeramkan, hitam, rupanya jahat seperti maut dan hanya berdiam dalam kapal-kapal.

Kerajaan Champa adalah laluan terpenting perdagangan antara empayar China di utara dengan empayar Srivijaya di sebelah selatan sana. Empayar Majapahit yang menjadi penerus kepada kerajaan Mataram di Pulau Jawa meneruskan lagi hubungan dengan kerajaan Champa.