Kerajaan Taruma atau Tarumanagara ini adalah sebuah kerajaan berketurunan Sunda yang bertamadun Hindu. Batu-batu bersurat yang dihasilkan dari kerajaan ini adalah dari abad ke-5 M yang merupakan batu bersurat terawal sekali diketahui berada di Pulau Jawa.
Kerajaan ini dekat sahaja dengan kota metropolitan Jakarta dalam Republik Indonesia pada zaman moden. menurut Batu Bersurat Tugu oleh Sri Purnavarman, baginda membangunkan satu saliran air bagi mengubah arah Sungai Cakung dan mengeringkan kawasan pantai untuk tujuan penempatan dan pertanian. Dalam batu bersurat tersebut juga, Sri Purnavarman mengaitkan diri baginda dengan Visnu. Pedanda-pedanda brahmana dijemput untuk memberikan restu kepada projek pengairan tersebut. Tarumanagara dianggarkan wujud antara 358-669 M di rantau Jawa Barat iaitu sekitar Bogor, Bekasi dan Jakarta pada zaman moden. Rantau-rantau itu kini membentuk Jakarta Metropolitan. Catitan Tarumanagara semuanya dibuat atas batu bersurat dan jumpaan rekod-rekod mereka pun dicatitkan di atas batu. Batu-batu bersurat digelar sebagai prasasti dalam bahasa Indonesia.