Kepercayaan Tempatan Champa

Masyarakat Champa mempunyai kepercayaan terhadap roh-roh alam yang disebut secara ideologinya sebagai animisme. Roh-roh ini umumnya dipercayai mempengaruhi setiap aspek kehidupan dan kewujudan mereka. Roh-roh alam ini sama ada yang baik atau yang jahat mestilah dilayan dengan penghormatan dan pada waktu tertentu diberikan jamuan serta persembahan.

Sebagai tambahan, masyarakat Champa mengamalkan pantang larang khusus bagi mengelakkan roh-roh ini mengganggu serta menyebabkan berlaku bencana. Kepercayaan seperti ini bergantung kepada keadaan rantau dan agama seseorang Champa. Ia mungkin juga pupus terus di sesetengah rantau orang Champa.

Pokok-pokok dan bayangan yang disebabkan oleh pokok-pokok itu dipercayai menyembunyikan roh jahat dan memberi sial. Pokok pisang umpamanya ditakuti. Semasa mengandung, wanita Champa dilarang daripada menyentuh pisang Jawa bagi mengelakkan lahirnya raksasa (budak jahat) yang akan menyebabkan kesengsaraan kepada keluarga. Pokok pisang juga ditanam di atas kubur wanita yang mati semasa mengandung kerana roh wanita tersebut dipercayai akan tersangkut pada perdu-perdu pokok pisang serta tidak dapat pulang mengganggu keluarganya.

Rumah masyarakat Champa dibina mengikut vastusastra dan bahan-bahan tertentu. Orang Champa yang kaya raya pun enggan membina rumah dari batu-batan atau bata kerana bimbang ia menyerupai gopuram dewa Po Rome. Semua bahan pembinaan rumah kediaman mestilah ditebang dari pokok-pokok yang berada dalam kawasan sama. Pokok yang sudah tumbang di atas dahan-dahannya di tanah dianggap sebagai sial.

Sebilangan kepercayaan tempatan turut menjadi petunjuk bagi kegiatan sesebuah keluarga Champa. Umumnya, seseorang tetamu itu dilarang masuk ke bilik-bilik tidur dalam rumah masyarakat Champa. Pengecualian hanyalah kepada rakan-rakan rapat dan ahli kampung yang sangat dihormati sahaja. Tetamu termasuklah kawan lama pun tidak dibenarkan meletak teko di atas tungku atau para di dapur. Tungku atau para dapur adalah tempat suci sama seperti kepercayaan di benua India.

Tidak perlu membangunkan para pemujaan untuk memberi sembahan kepada nenek moyang atau dewata pelindung keluarga. Penghormatan diberikan serupa kepada benda yang bernyawa dan tidak bernyawa. Sebagai contoh, barangan dapur yang rosak disebabkan selalu digunakan tidaklah dibuang begitu sahaja sebaliknya ia dikumpulkan sehingga menggunung berdekatan rumah. Mereka akan menunggu banjir dan membiarkan banjir menghanyutkan barangan tersebut ke merata-rata tempat. Selain itu, masyarakat Champa dari komuniti Brahmana dan komuniti Muslim kedua-duanya mengelakkan perhubungan jenis pada hari Isnin dengan kepercayaan bahawa 'Allah' menjelma pada hari itu. Tidak dapat dipastikan dari mana sumber mereka mendapat kepercayaan seperti ini.

Disebabkan masyarakat Champa majoritinya menjalankan kegiatan pertanian, maka mereka sangat berhati-hati dalam pertanian untuk mengelakkan bencana yang disebabkan oleh roh-roh sekitar kawasan pertanian mereka. Biji benih pantang dibeli dari kampung lain kerana bimbang semangat padi tersinggung dan membalas dendam. Penduduk kampung akan berdiam diri pada hari pertama menuai kerana mengelakkan semangat padi lari.

Semasa musim menuai biji rami, petani-petani Champa akan berpura-pura mabuk untuk memastikan unsur memabukkan biji rami tidak hilang. Petani Champa terutamanya yang mengikut agama Brahmana (Hindu) takut dengan lembu. Lembu tidak dibenarkan menjalankan kerja-kerja di ladang. Mereka percaya bahawa lembu adalah kapila atau haiwan yang menarik pengusung roh orang mati ke alam akhirat. Selain itu, sesuatu kampung itu akan pindah keseluruhannya jika berlaku kematian orang kampung akibat kemalangan atau kecuaian. Semua haiwan peliharaan di situ akan dibunuh pada malam sebelum mereka berpindah.