Upacara Kematian Champa

Kepercayaan Champa berkenaan kehidupan akhirat ini sukar sekali untuk direkodkan kerana ia tidak seragam. Upacara-upacara yang dijalankan menunjukkan bahawa orang Champa percaya bahawa roh-roh mereka yang sudah meninggal dunia akan naik ke alam kayangan.

Laporan-laporan awal mendakwa bahawa sesetengah orang Champa percaya bahawa roh manusia yang sudah meninggal dunia itu memasuki atau menumpang di tubuh haiwan-haiwan seperti ular dan buaya. Kebanyakan orang Champa percaya bahawa roh-roh manusia ini mendiami haiwan seperti tikus. Sesetengah lagi orang Champa mendakwa bahawa tubuh tikus adalah untuk roh-roh yang tidak matang atau roh kanak-kanak kecil. Dalam sebarang kes juga, korban dijalankan untuk sesetengah haiwan yang menjadi perumah kepada roh orang mati.

Nenek moyang yang diwakili oleh tulang-temulang dalam klong biasanya diberikan puja oleh mereka yang kaya setiap lima tahun dan setiap 10 tahun bagi mereka yang miskin kerana ketidakmampuan untuk menanggung upacara pemujaan tahunan. Di Tabat-Kut atau upacara puja kubur, nenek moyang akan dipersembahkan dengan hadiah-hadiah. Orang Champa yang Brahmana akan memuja nenek moyang mereka secara bermusim untuk hal-hal tertentu seperti memohon sembuh dari penyakit. Keluarga yang terlibat akan menjemput Pedanda atau Paja (Bebelian) ke kubur bagi menjalankan upacara pemujaan dan korban. Keluarga akan memohon kebenaran nenek moyang supaya menerima Paja menjadi orang tengah dalam komunikasi mereka. Dalam beberapa ketika, Paja akan menurun dan menjawab, "Kami menerima pemujaan kamu wahai anak cucu". Upacara akan ditamatkan dengan kenduri lalu keluarga pun pulang ke rumah.

Upacara Kematian Champa Bani

Cham Bani umumnya mengebumikan keluarga mereka dengan riuh-rendah sedikit. Di tengah halaman rumah, mereka akan memasang buaian dalam sebuah pondok kecil yang dibangunkan untuk memandikan mayat keluarga yang meninggal. Mayat akan dikafankan dan tuk syeikh akan dipanggil untuk membacakan doa-doa. Rakan-rakan dan keluarga akan memberikan penghormatan dengan memberikan hadiah dan pemberian kepada keluarga yang masih hidup.

Mayat akan diberikan penghormatan dan dibiarkan dalam pondok tersebut selama beberapa minggu. Kemudian, perarakan diadakan pada malam hari disertai oleh tuk syeikh, saudara-mara, rakan-rakan dan orang kampung membawa mayat ke tanah perkuburan. Mayat tersebut akan diletakkan di kubur sementara menghadap ke utara. Semua yang menyertai perarakan menghantar mayat itu berjanji akan melawatnya selalu. Mereka juga akan meminta supaya roh si mati jangan kembali menghantui kampung dan tidak mengadu mengenai saudara-mara yang tidak mengenang budi.

Jika mayat itu adalah seorang yang sangat tua, maka beberapa papan akan diletakkan di atas mayat itu. Mayat yang muda tidak diletakkan sebarang papan di atasnya kerana dibimbangi akan menyusahkan keluarganya. Kubur akan diisi dengan tanah separuh sahaja. Selepas itu, penggali kubur dan tuk syeikh akan tinggal di situ membaca doa-doa dan mengisi baki tanah kubur si mati itu.

Upacara tahlil si mati akan dijalankan oleh orang Champa Bani. Hal ini kelihatan sama seperti amalan di Tanah Melayu pada zaman sebelum reformasi Islam pada tahun 1970-an. Mereka memanggil tahlil sebagai upacara Padhi yang diadakan pada hari ketiga, hari ketujuh, hari ke-10, hari ke-30, hari ke-40 dan hari ke-50 selepas si mati dikebumikan. Penutup kepada upacara Padhi ini adalah tarikh peringatan untuk kematian si mati.

Semasa Padhi dijalankan, keluarga si mati akan menghantar makanan ke sebelah kubur si mati. Kubur si mati akan direnjis dengan air mawar. Tuk syeikh beberapa orang akan datang berdoa di kepala dan di kaki kubur tersebut pada hari Padhi kelima. Selepas upacara itu, mereka akan diberikan sirih, tembakau, kain dan pinggan mangkuk.

Pada hari terakhir Padhi, orang Champa Bani di Binh Thuan selalunya akan mengutip tulang-temulang si mati dan memindahkannya ke tempat yang dianggap keramat. Gohoul-Prong atau Gunungan Pasir terletak antara Lembah Parik (Phan-Ri) dan di hujung laut menjadi tempat persemadian terakhir bagi orang Champa Bani dari Parik.

Penduduk di Panduranga (Phan-Rang) mengebumikan mereka yang sudah meninggal dunia di kaki Bukit Tchoek-Tadou atau Kadou. Penggalian semula kubur akan diikuti dengan upacara yang sama seperti upacara pengebumian mayat sebelumnya. Tulang-tulang akan dimuatkan dalam keranda kecil dan diisi dengan emas, cincin-cincin perak kepunyaan si mati. Penggalian semula kubur ini selalunya berlangsung dalam musim hujan. Namun, dalam sesetengah keadaan ia dijalankan juga pada masa lain.

Upacara Kematian Champa Brahmana

Orang Champa Brahmana menjalankan upacara pembakaran mayat yang panjang lebar. Secara tradisionalnya, amalan upacara kematian Champa Brahmana ini bersandar kepada kepercayaan bahawa roh yang sudah keluar dari tubuh lamanya ini akan kehilangan tubuh asalnya. Ia akan menerima tubuh yang baru pula. Pembentukan tubuh baru ini yang merujuk kepada roh dipercayai akan disempurnakan melalui upacara yang menggunakan beras. Beras sahaja dipercayai mampu untuk memberikan kesan kepada perubahan roh dari tubuhnya ke tubuh baru iaitu tubuh berbentuk roh. Dalam menjangka akan berlakunya kematian dalam keluarga, maka ahli keluarga tersebut akan menyediakan tangkai-tangkai padi terbaik dari upacara penuaian padi mereka sebagai persediaan untuk upacara kematian keluarga mereka.

Upacara pembakaran mayat dipercayai menghancurkan daging-daging si mati dan jasadnya. Selain itu, ia juga membawa pergi dosa-dosa si mati kembali ke lima unsur alam semesta. Walau bagaimanapun, mereka yang miskin dan kanak-kanak kecil tidaklah dibakar mayat mereka. Orang Champa Brahmana yang tidak berkemampuan selalunya akan mengebumikan mayat keluarga mereka tanpa upacara mahal-mahal. Mereka juga tidak menjemput pedanda. Kepala mayat akan dihalakan ke selatan. Kanak-kanak yang belum mengalami kenaikan ke usia orang dewasa juga dikebumikan dalam tanah seperti biasa. Roh mereka dipercayai akan berpindah masuk ke tubuh tikus kebun. Penganut Brahmana keturunan Champa percaya bahawa kanak-kanak kecil tidak melakukan karma yang banyak. Oleh itu, karma dosa mereka juga tiada dan mereka tidak perlu disucikan dengan api. Peringatan untuk kanak-kanak akan dimulakan oleh ketua keluarga. Beliau akan memberikan sembahan barangan seperti beras, kelapa dan pisang. Beliau juga akan melambaikan tangan meniru pergerakan seekor burung dan meletakkan bunga berwarna merah dalam tajau gangsa.

Tubuh si mati akan dikafankan sebanyak lapan atau 10 lapis bergantung kepada keadaan. Kepalanya tidak termasuk dalam kain kafan tersebut. Ia hanya ditutup dengan kain nipis sahaja. Mayat akan diletakkan dalam pondok khas yang dibangunkan oleh keluarga di halaman rumah sama seperti yang dilakukan oleh orang Champa Bani. Dalam pondok tersebut, katil akan dihalakan ke arah selatan dan diletakkan di atas satu pelamin. Mayat akan diletakkan di katil itu diikuti dengan lilin di kepala dan kakinya.

Di atas katil tersebut, kain berwarna keemasan akan ditebarkan dan digantung. Burung-burung dan haiwan-haiwan kertas digantung di situ sebagai lambang bahawa roh si mati akan ditemani oleh haiwan-haiwan tersebut sehingga ia sampai ke tempat tinggalnya yang seterusnya. Pedanda akan meletakkan ganja dari bukit sekeliling pelamin mayat itu. Sebagai tambahan lagi, beras, kuih-muih, air dan sirih diletakkan sekeliling katil mayat tersebut bersama dengan piala-piala perang serta bendera berhias menghiasi pondok itu.

Semasa tempoh antara kematian dan pembakaran mayat, bergantung dari beberapa minggu sehingga ke beberapa bulan itu, mayat akan dibiarkan berada dalam pondok. Ia akan dijaga oleh pedanda-pedanda dan bebelian yang membacakan mantra. Tetamu yang melawat akan dilayani oleh keluarga si mati. Mereka selalunya akan berbual-bual sambil menghiburkan roh si mati. Bunyian akan dimainkan oleh pancaragam siang dan malam. Siang dan malam jugalah, bebelian akan menyediakan makanan untuk si mati. Stiap kali makanan disediakan, tudung muka mayat akan dibuka dan selepas itu ia akan ditutup semula. Kerabat si mati akan mengelakkan memakan benda berdarah dalam tempoh ini. Orang dewasa dan rakan-rakan si mati tidak akan menyertai sebarang pesta perayaan kecuali yang berkaitan dengan si mati sahaja. Mereka akan mengelilingi mayat si mati, menari, menyanyi, makan dan minum berdekatan dengan pondok yang menempatkan mayat si mati itu.

Akhirnya, mayat akan sampai ke tahap pereputan yang lanjut. Maka, keluarga pun akan bersedia untuk upacara pembakaran mayat. Pada hari yang dipilih itu, pedanda Brahmana akan membangunkan kotak mayat bergerak yang dihiasi dengan kertas emas berbentuk haiwan dan bunga-bungaan. Mayat akan dibaringkan di kotak tersebut dan ditarik oleh pedanda ke padang berdekatan dengan pintu keluar kampung. Perarakan pengebumian ini akan diikuti dengan pancaragam. Sekumpulan orang kampung akan berpakaian warna putih menyertai perarakan itu. Kaum wanita berselendang panjang akan berteriak tangis menangisi si mati. Ketika mayat itu dibawa pergi dari kampung, maka pedanda akan memusingkan kotak mayat bergerak itu bagi mengelirukan roh si mati yang berada di sekitar itu. Hal ini adalah supaya ia tidak kembali semula ke rumahnya. Penduduk kampung pun akan berlari ke sana ke sini dalam pada mereka menuju ke tapak pembakaran mayat untuk mengelirukan roh si mati. Ketika itu, Po Damoeum (Tuan Kesedihan) yang menjadi pedanda untuk upacara kematian akan mengurung dirinya dalam rumah si mati. Beliau akan memohon setiap bahan dalam rumah itu sama ada yang bernyawa atau tidak supaya tidak membenarkan roh si mati masuk ke rumah tersebut lagi dan menyeksa keluarganya yang masih hidup.

Pada tapak yang dipilih untuk pembakaran mayat, pedanda akan memeriksanya dan menandakan tapak itu dengan beliung. Tapak itu ditandakan di empat penjuru. Pembantu upacara akan memindahkan rumput-rumput di situ ke tempat lain dan menyediakan kayu bakar mayat. Sementara itu, pedanda akan melonggarkan kain kafan dari tubuh mayat dan hidangan terakhir diberikan kepada mayat. Beberapa biji beras diletakkan di bawah lidah mayat. Mayat akan ditutup dan diletakkan atas kayu api. Pedanda dan sanak-saudara mayat akan menjalankan pradaksina (tawaf) tiga kali sekeliling tapak pembakaran mayat itu sebelum api dinyalakan dengan lilin dicucuh di atas kayu api dan ranting-ranting yang menempatkan mayat itu. Barang-barang peribadi mayat yang mempunyai badi mayat pun dibaling ke api dan mereka yang berkabung itu akan menghantar hadiah-hadiah kepada si mati itu dengan meletakkan nama-nama si mati pada bakul yang disangkutkan di kotak mayat bergerak itu. Semasa pembakaran mayat berlangsung, pedanda dan orang ramai yang hadir akan membaca mantra dan diselangi dengan gelak tawa atau cerita-cerita menarik berkenaan si mati. Teriakan, meraung dan mencarik-carikkan rambut selalunya dilakukan oleh orang berkabung yang dibayar oleh keluarga si mati.

Sebaik sahaja api mengenai mayat, maka kepala si mati akan dicabut dari lehernya. Dahi mayat itu akan dihempas dengan beliung. Tulang muka dipecahkan sembilan dan tulang muka depan akan diletakkan dalam lubang di tanah lalu diisi lubang itu dengan air. Kemudian, pedanda akan membaling kepala mayat itu ke dalam api semula.

Upacara menyucikan tulang mayat pula dijalankan seperti berikut:
  • Tulang-tulang akan dikeluarkan dari lubang dan diberikan upacara sebelum dimasukkan dalam klong atau kotak kecil diperbuat dari tembaga;
  • Pedanda akan merasmikan upacara sajian makanan kepada roh si mati dan kenduri dihantar ke hutan;
  • Penutup upacara ini adalah penyerahan klong kepada keluarga si mati.
Tulang-tulang si mati yang berada dalam klong itu akan disimpan dalam kuil keluarga selama setahun. Kemudian, dijalankan upacara Padhi sama seperti Padhi yang dijalankan oleh orang Champa Bani sebelum klong tersebut disemadikan dengan nenek moyang lain di bawah kout atau candi keluarga. Apabila pembakaran mayat sempurna, pedandan, keluarga dan rakan-rakan si mati kembali semula ke rumah si mati. Bagi mengelirukan roh si mati itu, pedanda akan menterbalikkan pakaian yang dipakainya, mengikat rambut mereka yang panjang di leher mereka, mencabut serban mereka dan berpura-pura menjadi seorang pengembara yang biasa. Makanan terakhir akan disajikan kepada tetamu yang hadir di pengebumian dan tuan rumah akan memberikan sembah sajian kepada nenek moyangnya.