Upacara-Upacara Champa

Upacara-upacara yang dijalankan oleh orang Champa umumnya adalah sangat rumit dan ia diperkenal dalam setiap fasa kewujudan makhluk. Tugas yang paling leceh sekali pun memerlukan upcara tertentu.

Upacara Musim Pertanian

Jamuan makanan dan mantra-mantra dibacakan menyeru roh-roh diikuti dengan kenduri untuk mereka yang hadir dalam upacara tersebut. Sebagai tambahan kepada upacara agama dan upcara bagi setiap fasa dalam kehidupan seseorang, terdapat juga upacara untuk pembinaan bangunan, pertanian dan penghargaan. Upacara-upacara penting seperti pembinaan semula banoek (empangan) dan pembersihan serta pemuliharaan rabong (tali air) diadakan pada setiap tahun. Raja-raja yang diangkat menjadi dewata seperti Po Klong Garai yang pernah terlibat dalam sistem saliran negara dan dewi Po Nagar untuk upacara pertanian diseru semasa upacara-upacara dimulakan. Semasa bulan pertama kalender Champa, apabila saliran-saliran negara dibersihkan dan diperbaiki, Ong-Banoek atau 'Kepala Empangan' akan mempersembahkan sembahan dan sajian kepada dewa Po Klong Garai dan dewi Po Nagar.

Kemudian, Ong-Banoek akan tinggal beberapa hari di pondok dekat dengan punca air masuk ke bendang beliau sendiri. Dengan sembahan dan sajian kepada dewata memohon supaya empangan kukuh dan tidak pecah, Ong-Banoek akan menancapkan tiga batang kayu ke dasar sungai. Ong-Banoek akan menyangkutkan kepingan kayu, tiga ketul batu, tiga gulungan daun dedalu, gunungan pasir dan sedikit daun pada kayu-kayu itu. Beliau akan membaca mantra dan memaklumkan dewata bahawa kerja pembinaan dan pembaikan saliran dijalankan. Penduduk kampung akan bersiap sedia untuk membetulkan saliran berdekatan dengan kawasan mereka, sementara Ong-Banoek bertapa dalam pondoknya. Apabila empangan siap, Ong-Banoek akan balik ke rumah dan menyediakan kenduri. Beliau akan menjemput pedanda-pedanda Brahmana datang. Apabila bunga padi muncul pada musim menuai, Ong-Banoek akan membuat persembahan selanjutnya lagi kepada dewa-dewa pelindung.

Upacara Musim Kemarau

Jika berlaku kemarau semasa musim menanam, orang Champa akan mengumpulkan pelbagai jenis sesajian untuk upacara pengorbanan kepada dewa-dewa. Pancaragam kampung, pedanda-pedanda Brahmana dan orang kampung akan ke empangan memohon hujan dari dewata. Pengorbanan bermusim ini biasanya dibuat bagi memastikan hujan turun seperti biasa untuk menanam. Upacara juga berbeza mengikut kampung di Champa. Haiwan yang dikorbankan adalah seperti kerbau balar, ayam hitam atau kambing hitam. Pada zaman dahulu, Ong-Banoek akan menculik anak orang kaya sebagai mangsa korban. Kanak-kanak malang itu akan ditenggelamkan di sungai sebagai sembahan korban kepada raja naga.

Upacara Membangunkan Rumah

Pembinaan rumah juga memerlukan upacara yang banyak. Pertama, kawasan yang dipilih itu mestilah dikandang dengan kayu-kayu mati. Pantang sekali mempunyai lubang-lubang pada kawasan yang dikandang itu. Bukaan-bukaan pada kandang itu dibuat untuk dewa-dewa masuk dan membantu tukang buat rumah. Sebelum rantau awal dibangunkan di arah timur laut, satu lubang digali sebagai tapaknya. Kemudian, penangkal yang terdiri daripada sehelai kertas mengandungi aksara-aksara suci dimasukkan ke dalam lubang tersebut oleh tuan rumah. Setiap tapak dalam rumah pun akan diperlakukan dengan serupa oleh tuan rumah.

Selalunya, hanya satu bahagian rumah sahaja yang dibangunkan pada arah tertentu dalam sehari. Apabila kerangka bumbung siap, tangkal mestilah disangkut pada setiap arah di mana bumbung tersebut bersentuh. Bahan-bahan khsusu digunakan untuk menjalinkan bumbung. Lalang dari sungai dilarang digunakan sebagai bahan membuat bumbung kerana ia akan memberikan tenaga kepada kesaktian jahat.

Rumah yang sudah siap itu pantang dimasuki sehinggalah ia dilintasi oleh seekor kucing. Kemudian, barulah tuan rumah boleh masuk. Tuan rumah akan bersujud di tapak kasur nya akan diletakkan. Selepas itu, dia akan bangun dan membaca semua kawasan yang perlu dielakkan apabila memilih tapak rumah yang baru. Bacaannya seperti berikut, "Aku akan lari jauh dari tempat yang diburu anai-anai. Aku akan berpaling dari tempat-tempat kediaman roh jahat dan raksasa. Tempat yang tidak rata akan aku hindari... Pendek kata, aku tidak akan ke tempat yang memang sudah diketahui ada kejahatan di situ".

Upacara Merestui Pedati

Pembinaan pedati orang Champa juga mempunyai upacara tersendiri. Penyempurnaan pedati mereka itu akan disudahi dengan upacara penghargaan, ayudhapuja. Roda kanan akan dihadiri oleh seorang atau dua Brahmana, cahaya lilin, dan persembahan kepada dewa-dewa. Pedati akan direnjis dengan tirtha pavitra atau air suci. Pedati juga akan disucikan sekali lagi dengan mencecahkannya sedikit ke dalam sungai yang tohor. Kemudian, pemilik pedati akan membuat sedikit calaran halus di sana sini pada pedatinya sambil berkata, "Wahai pedati, celakalah engkau jika engkau tidak bergerak dengan sebaik mungkin". Upacara ini disudahi dengan kenduri kepada mereka yang hadir termasuk kepada Brahmana yang memberi restu tadi.