Istilah Melayu Purba yang bersilih ganti dengan istilah-istilah
seperti Melayu Asli atau Proto-Malays dalam bahasa Inggeris merujuk
kepada sekelompok penutur bahasa dari turunan Austronesia
(Kepulauan Selatan), yang didakwa turun dari Tanah Besar Asia Tenggara.
Mereka didakwa bergerak ke Tanah Melayu dan kepulauan di sekelilingnya
dalam satu siri penghijrahan yang panjang antara 2500 sehingga 1500 SM.
Kelompok bangsa Melayu yang ini dianggap sebagai model pertama sebelum
model kedua, iaitu bangsa Melayu Deutro atau bangsa Melayu Ulangan yang
turun sekali lagi dalam gelombang kedua. Bangsa Melayu Tua ini adalah
kelompok nenek moyang bagi bangsa Melayu yang wujud di negara moden
Indonesia dan Malaysia.
Bangsa Melayu Tua ini
dipercayai sebagai kelompok bangsa yang mahir dalam ilmu kelautan kerana
mereka hidup di pesisir-pesisir pantai. Mereka juga mempunyai
kemahiran-kemahiran asas dalam pertanian. Zaman berzaman tinggal di
lautan, mereka masuk ke pelbagai tempat di Asia Tenggara lalu menerima
pakai adat-istiadat bangsa-bangsa lain yang bertembung dengan mereka
melalui proses kahwin campur atau akulturasi. Mereka bertembung dengan
bangsa-bangsa lain seperti bangsa Senoi dan bangsa Semang.
The Encyclopedia of Malaysia: Early History menggariskan tiga teori mengenai kemunculan bangsa Melayu Tua ini:
- Teori Yunnan, perpindahan di sepanjang Sungai Mekong (pertama kali diterbitkan pada 1889). Teori Melayu Tua ini berasal dari Yunnan di China Selatan disokong oleh R. H. Geldern, J.H.C. Kern, J.R. Foster, J.R Logen, Slamet Muljana dan Hasmah Omar. Bukti lain yang menyokong teori ini termasuklah: peralatan batu di Kepulauan Melayu yang sepadan dengan peralatan-peralatan di Asia Tengah; persamaan adat-istiadat orang Melayu Tua dengan adat-istiadat orang Assam di India; dan hakikat bahawa bahasa Melayu dan bahasa Kemboja adalah bahasa-bahasa yang berhubung kait kerana asal-usul nenek moyang penduduk Kemboja berasal dari hulu Sungai Mekong.
- Teori New Guinea, (pertama kali diterbitkan pada 1965).
- Teori Taiwan, (pertama kali diterbitkan pada 1997). Untuk maklumat lanjut, sila rujuk bahagian bahasa-bahasa Austronesia.
Sesetengah ahli linguistik sejarah merumuskan bahawa wujud
asas-asas linguistik yang sedikit sekali untuk menunjukkan
belahan-belahan bahasa Melayu Tua dengan bahasa Melayu Ulangan.
Jumpaan-jumpaan sejarah memberi gambaran bahawa kedua-dua bangsa Melayu
Tua dengan bangsa Melayu Ulangan ini berasal dari kelompok bangsa yang
berasal usul sama. Teori-teori sebelum ini mencadangkan bahawa bangsa
Melayu Ulangan ini datang ke Asia Tenggara dalam gelombang perpindahan
kedua, sekitar tahun 300 SM. Lebih lewat dari kedatangan orang Melayu
Tua yang turun lebih awal dari tempat asal mereka.
Suku Kaum Cawangan Bangsa Melayu Tua
- Suku Moken
- Suku Temuan
- Suku Orang Laut
- Suku Jakun
- Suku Kallang
- Suku Selat (rujuk Orang Laut)
- Suku Seletar
- Suku Kuala
- Orang Kanak
- Suku Talang Mamak
Sumber: Rujukan (sila klik di sini)
Gambar: Go with Bo!