Kejatuhan Champa

Keselarian yang menarik boleh diperhatikan antara sejarah Champa Utara iaitu negara-kota Indrapura dan negara-kota Vijaya dengan jiran serta pesaing mereka di sebelah barat iaitu tamadun Khmer di Angkor yang cuma terletak di utara Tasik Tonle dalam Kemboja kini.

Pengasasan dinasti Champa di Indrapura pada 875 M diikuti dengan pengasasan empayar Khmer di Roluos pada 877 M oleh Raja Indravarman I yang menyatukan dua rantau merdeka di Kemboja. Keselarian ini berterusan apabila bangsa Champa dan bangsa Khmer berkembang dari abad ke-10 sehingga abad ke-12 M lalu kemudiannya mengalami kejatuhan, menderita kekalahan pada abad ke-15 M.

Pada 1238 M, empayar Khmer kehilangan rantau baratnya sekitar Sukhothai kerana bangsa Tai memberontak. Pemberontakan bangsa Tai itu berjaya dan menyebabkan rantau tersebut berubah menjadi satu kerajaan yang merdeka. Selepas itu, kota Angkor ditinggalkan pula pada tahun 1431 diikuti dengan serangan dari kerajaan Sri Ayuttaya atau Siam yang menyerap kerajaan Sukhotai masuk ke empayarnya pada 1376 M. Kejatuhan Champa ini secara kasarnya adalah kontemporari dan serentak dengan kejatuhan Angkor. Kerajaan Champa ditundukkan oleh tekanan dari Dai Viet yang kini adalah Vietnam Utara yang menjatuhkan dan menakluki negara-kota Vijaya pada 1471.

Perdagangan

Menurut kepada dokumen-dokumen Daoyi Zhilue, sekitar abad ke-11 M pedagang-pedagang China yang berdagang di pelabuhan-pelabuhan negara-kota Champa itu berkahwin dengan wanita-wanita Champa. Mereka akan singgah di rumah isteri-isteri mereka apabila menjalankan perdagangan. Seorang pedagang dari Quanzhou, Wang Yuanmao sebagai contoh berniaga secara besar-besaran di Champa dan beliau pun berkahwin dengan seorang puteri dari salah satu negara-kota Champa pada ketika itu.

Kejatuhan Kauthara

Pada 944 dan 945 M, tentera Kemboja menakluki rantau Kauthara. Sekitar 950 M, Kemboja di bawah Rajendravarman II menjarah Kuil Po Nagar dan merampas arca dewi pertiwi di situ. Pada 960 M, Raja Jaya Indravarman I dari Champa menghantar rajaduta dengan ufti kepada maharaja pertama dari dinasti Song di benua China di Kaifeng. Pada 965 M, raja Champa memulihkan Kuil Po Nagar dan membangunkan semula rupa suci dewi pertiwi bagi menggantikan rupa yang dicuri oleh orang Khmer dari Kemboja.

Kejatuhan Indrapura

Pada separuh penghujung abad ke-10 M, raja-raja Indrapura mengisytiharkan perang terhadap Dai Viet yang kini dikenali sebagai Vietnam Utara. Orang Viet ketika itu menghabiskan kebanyakan masa mereka untuk memastikan bahawa mereka merdeka dari pemerintahan empayar China. Berikutan kejatuhan kapal perang China hasil serangan Ngo Quyen dalam Peperangan Bach Dang pada 938 M, Vietnam Utara jatuh dalam tempoh kekacauan dalaman sehingga ia disatukan kembali oleh dinasti Dinh pada 968 M di bawa nama Dai Co Viet. Ibu kotanya diasaskan di Hoa Lu berdekatan dengan Hanoi kini.

Pada 979 M, Paramesvaravarman I menghantar kapal perang menyerang Hoa Lu bagi menyokong Ngo Nhut Kanh berikutan Anarki 12 Orang Kepala Perang. Walau bagaimanapun, kempen peperangan mereka terhalang disebabkan oleh ribut taufan. Pada 982 M, raja Le Hoan dari Dai Viet menghantar raja duta ke Indrapura. Namun, raja duta Dai Viet itu ditahan di Indrapura. Raja Le Hoan berkeputusan untuk menyerang negara-kota Indrapura. Kota Indrapura diserang dan raja Paramesvaravarman terbunuh dalam peperangan. Wanita-wanita di Indrapura diculik oleh rombongan diraja Dai Viet, emas, perak dan lain-lain barangan berharga habis dirampasnya. Selepas serangan ini, seramai 1000 orang Champa meninggalkan negara-kota Indrapura. Pusat pemerintahan Champa kemudian berpindah ke negara-kota Vijaya yang terletak ke selatan di Binh Dinh kini.

Beberapa rekod Cina merekodkan juga ketibaan pelarian bangsa Champa di Hainan. Apabila ibu kota Champa jatuh pada 982 M, beberapa orang Champa kemudian melarikan diri ke dinasti Song di Pulau Hainan. Selepas kejatuhan kota Indrapura juga, beberapa orang Champa turut melepaskan diri ke Guangzhou. Di sana mereka menjadi nenek moyang etnik Utsul di Hainan. Mereka ini beragama Islam dan berbahasa Champa.

Selepas kejadian ini, pemimpin Vietnam bernama Dinh Bo Linh memohon status neifu dari empayar China. Ia adalah taraf autonomi namun mereka masih lagi mengakui kedaulatan empayar China. Champa pun turut membuat permohonan status yang sama dan menghantar ufti yang besar juga ke empayar China. Apabila Vietnam menghantar tahanan Champa ke empayar China pada 922 M, empayar China akan memulangkan semula tahanan tersebut ke Champa. Beras Champa pun turut diperkenalkan ke China semasa pemerintahan maharaja Zhenzong dari dinasti Song.

Kejatuhan Vijaya

Konflik antara Champa dan Dai Viet tidak berakhir dengan negara-kota Indrapura dikosongkan sahaja. Champa masih lagi menghadapi serangan dari Viet pada 1021 dan 1026 M. Pada 1044 M, berlaku peperangan yang menyebabkan raja Sa Dau dari Champa mangkat. Kota Vijaya pun dihentam oleh Dai Viet di bawah perintah raja Ly Thai Tong.

Penakluk dari Dai Viet itu menawam gajah-gajah orang Champa, menculik biduanda Champa dan permaisuri Champa iaitu permaisuri Mi E. Permaisuri malang tersebut menceburkan diri baginda ke dalam laut semasa baginda dibawa lari ke Dai Viet. Seramai 30,000 orang Champa terbunuh dalam serangan ini. Selepas itu kerajaan Champa terpaksa membayar ufti kepada raja-raja Viet. Kerajaan Champa menghantar seekor badak putih pada 1065 dan seekor gajah putih pada 1068 kepada raja Ly Thanh Tong.

Pada 1068, raja Rudravarman III (Che Cu) menyerang Dai Viet bagi membalas balik serangan pada 1044 M. Namun, Champa gagal lagi dan mereka dihukum oleh Dai Viet dengan teruk sekali. Kota Vijaya dibakar. Pada 1069, Dai Viet di bawah raja Ly Thanh Tong menaiki kapal ke Champa, membakar Vijaya dan menawan raja Rudravarman III. Baginda dibebaskan dengan pertukaran tiga daerah utara kepada Dai Viet. Disebabkan peristiwa ini, negeri-negeri naungan Champa di selatan pun memberontak dan membebaskan diri. Raja-raja Champa di utara tidak mampu menyatukan negara sehinggalah pada tahun 1084 M.